Home / Politik / Pakatan Harapan / 6 Sebab Bukan Melayu Bakal Dominasi Kerajaan PH

6 Sebab Bukan Melayu Bakal Dominasi Kerajaan PH

Malaysia bakal diperintah oleh sebuah gabungan parti politik yang didominasi oleh bukan Melayu jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, pertama parti politik Melayu dalam Pakatan Harapan berpecah kepada tiga iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tiada mana-mana parti politik (majoriti) Melayu yang akan menjadi dominan dalam Pakatan Harapan, sebaliknya yang akan menjadi dominan adalah parti politik bukan Melayu.

“Ini kerana parti politik Melayu dalam Pakatan Harapan berpecah tiga berbanding hanya ada satu sahaja parti politik bukan Melayu iaitu DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul berkata, kedua Manifesto PRU14 Pakatan Harapan adalah bayangan falsafah politik DAP iaitu Malaysian Malaysia yang mementingkan aspek meritokrasi dan kesamarataan sekali gus bakal mencairkan penguasaan politik Melayu.

Kata beliau, ketiga manifesto PRU14 Pakatan Harapan cuba menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku benteng kuasa politik Melayu dengan menjadikan kuasa pelantikan pegawai tertinggi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya dikuasai parti politik.

Tambah beliau, keempat manifesto PRU 14 Pakatan Harapan akan membenarkan agenda DAP membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya berdasarkan prinsip satu orang satu undi sekali gus melipatgandakan kerusi bandar berbanding kerusi luar bandar.

“Kelima dalam jangka panjang, Kerajaan Pakatan Harapan yang didominasi DAP akan membuka jalan kepada bukan Melayu menjadi Perdana Menteri selaras dengan kenyataan Lim Guan Eng di Singapura pada 10 Disember 2014 jika Perlembagaan Persekutuan kekal maka bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri.

“Keenam rekod Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak baik dengan Raja-Raja Melayu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri malah sehingga sekarang pun beliau menghadapi masalah dengan Sultan Kelantan, Sultan Johor dan Sultan Selangor menjadikan sukar untuk Pakatan Harapan menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.

About tok anjang

Check Also

Undi Logo ‘Mata’ Ibarat Menang Sorak, Kampung Tergadai

Masyarakat Melayu perlu berhati-hati dalam membuat pertimbangan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana gabungan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *