Home / Ekonomi / “Jangan Mansuh GST, Ia Lebih Bagus Berbanding SST,” Kata IDEAS

“Jangan Mansuh GST, Ia Lebih Bagus Berbanding SST,” Kata IDEAS

Malaysia menyertai 160 negara yang mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan itupun pada kadar yang rendah iaitu sebanyak enam peratus dengan pengecualian terhadap barangan keperluan asas.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula menyatakan hasrat mereka untuk menghapuskan GST sekiranya mereka menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, walaupun statistik menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumpul lebih RM42 bilion daripada cukai tersebut tahun lalu.

Kumpulan penganalisis dasar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, GST adalah lebih baik daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dicadangkan oleh Pakatan sebagai alternatif bagi menggantikan GST selepas ia dimansuhkan.

Memetik Free Malaysia Today (FMT), Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Ali Salman berkata, penambahbaikan sepatutnya dilakukan terhadap skim GST berbanding memansuhkan cukai itu sepertimana yang diikrarkan Pakatan dalam masa 100 selepas memenangi plihan raya.

Katanya, GST penting kepada pengurusan fiskal kerajaan persekutuan memandangkan kerajaan sebelum ini sangat bergantung pada pendapatan daripada Petronas.

“Apabila harga minyak jatuh, pendapatan berkurangan dan keadaan itu amat menjejaskan kerajaan.

“Maka, langkah yang lebih baik ialah memperbaiki GST daripada mengembalikan cukai SST,” katanya pada forum ekonomi dan perniagaan Pakatan Harapan, semalam.

Ali menambah cadangan tersebut juga adalah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pihaknya ke atas indeks harga pengguna dalam tempoh dua tahun sebelum dan tiga tahun selepas cukai itu diperkenalkan, yang mana hasil kajian menunjukkan kos sara hidup dalam tempoh tersebut sebenarnya sedang meningkat.

“Tetapi anda tidak boleh salahkan GST sebagai punca. Ada banyak faktor lain seperti kekangan bekalan. Menyalahkan GST sebenarnya tidak realistik,” Ali dipetik sebagai berkata, selain menjelaskan banyak barangan asas berkadar sifar dan ia tidak terkesan dengan GST.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut sama hadir pada forum berkenaan masih tetap dengan pendirian beliau bahawa GST “sangat teruk” kerana ia dikenakan di setiap peringkat urus niaga di sepanjang rantaian bekalan.

“Walaupun perniagaan boleh menuntut rebat, ia masih mengambil banyak masa. Akibatnya, kerajaan perlu menaikkan harga secara menyeluruh, termasuk ke atas barangan yang tidak dikenakan GST, bagi menampung kos. Ini akhirnya memberi beban pada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan menjadi negara defisit tanpa kutipan hasil RM45 bilion melalui pelaksanaan GST.

“Kalau pembangkang hendak menghapuskan GST untuk digantikan dengan SST, itu tipu. Kalau tidak dapat hasil RM45 bilion, negara akan menjadi negara defisit.

“Kita tahu hutang negara kian menguncup, tetapi kalau hasil itu tiada, hutang negara akan meningkat dan menjadi seperti Greece,” katanya pada 11 Mac lalu.

About tok anjang

Check Also

Pendapatan Negara Daripada Hasil Petroleum Dijangka Naik

Kerajaan menjangkakan peningkatan pendapatan daripada hasil petroleum berbanding anggaran dalam Bajet 2018, berdasarkan purata harga …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *