Home / Ekonomi / Pendapatan Negara Daripada Hasil Petroleum Dijangka Naik

Pendapatan Negara Daripada Hasil Petroleum Dijangka Naik

Kerajaan menjangkakan peningkatan pendapatan daripada hasil petroleum berbanding anggaran dalam Bajet 2018, berdasarkan purata harga minyak global semasa.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac lalu, purata harga minyak mentah dunia berlegar pada kadar AS$66.70 setong.

Katanya, kadar itu lebih tinggi berbanding anggaran dalam Bajet 2018 iaitu sekitar AS$52 setong, dengan anggaran hasil petroleum RM37.80 bilion.

“Secara purata, bagi peningkatan harga minyak mentah dunia AS$1 setong, hasil kerajaan akan meningkat kira-kira RM300 juta setahun, dengan andaian pengeluaran minyak mentah dan nilai tukaran wang asing tidak berubah.

“Bagaimanapun, impak kenaikan purata harga terhadap hasil petroleum bagi tahun ini berbanding Bajet 2018 belum dapat dipastikan kerana masih terlalu awal,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanya harga ‘threshold’ minyak mentah yang digunakan untuk penyelidikan Bajet 2017 dan Bajet 2018, serta pertambahan hasil kerajaan kesan kenaikan harga minyak mentah dunia pada tahun lalu dan tahun ini.

Othman berkata, purata harga minyak mentah pada 2016 adalah AS$44.10 setong dengan hasil petroleum negara RM31 bilion.

“Kita menganggarkan purata harga minyak mentah dunia dalam Bajet 2017 adalah sekitar AS$50 setong dengan anggaran hasil petroleum negara RM33.60 bilion, namun kedua-duanya meningkat, masing-masing pada AS$54.40 setong dan RM34.60 bilion,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad sama ada kerajaan akan meletakkan had siling bagi harga minyak runcit bagi mengurangkan beban rakyat serta menggunakan lebihan pendapatan untuk membayar hutang, Othman berkata kerajaan akan melaksanakan inisiatif tertentu jika kenaikan harga minyak dunia secara mendadak dan berpanjangan berlaku.

“Bagi purata 52 minggu terakhir ini, harga minyak mentah dunia terendah adalah AS$44 setong dan paling tinggi AS$71 setong. Ketika ini harga minyak berlegar sekitar AS$67 setong.

“Namun, jika berlaku kenaikan harga sekitar AS$70 hingga AS$80 setong dalam jangka masa panjang, kerajaan akan fikirkan langkah yang patut dilaksanakan supaya ia tak memberi kesan pada pengguna, khususnya pihak industri,” katanya.

Othman berkata, kerajaan boleh menggunakan lebihan pendapatan hasil peningkatan harga minyak dunia untuk membayar hutang negara, dengan anggaran RM1 bilion bersamaan lima peratus peningkatan bayaran hutang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mempertimbangkan keutamaan dalam membelanjakan lebihan pendapatan, sama ada membayar hutang atau untuk projek pembangunan yang memiliki kesan berganda.

– BH Online

About tok anjang

Check Also

“Jangan Mansuh GST, Ia Lebih Bagus Berbanding SST,” Kata IDEAS

Malaysia menyertai 160 negara yang mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan itupun pada kadar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *