Home / Ekonomi / ECRL – Penyelesaian Lancarkan Perjalanan Rakyat Malaysia

ECRL – Penyelesaian Lancarkan Perjalanan Rakyat Malaysia

Sektor infrastruktur negara dijangka menyaksikan satu lagi tahun yang berkembang maju dengan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang sedang dibangunkan, menjadikannya antara penyelesaian yang membolehkan 30 juta rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan lancar.

Pengangkutan kereta api akan terus relevan berikutan sektor ini telah membuktikan walaupun di negara paling maju sebagai paling mampan, sama ada dari segi penggunaan tenaga atau pelepasan karbon dioksida.

Faktor paling penting ialah bagaimana kerajaan akan mengendalikan laluan sepanjang 688 kilometer dari Pelabuhan Klang, Selangor, ke Pengkalan Kubor, Kelantan, berhampiran sempadan Thailand.

Pada masa ini, tiada hubungan rel antara laluan ini.

Projek kereta api berimpak tinggi lain yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia ialah Kereta Api Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur, dengan kos melebihi RM60 bilion dan dijadualkan beroperasi pada 31 Dis, 2026.

“Menggunakan kereta api sebagai mod pilihan akan memerlukan usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa,” kata Dr Shahrin Nasir, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri & Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Orang ramai perlu menyedari mengenai kepentingan pengangkutan yang mesra alam dan selamat.

“Antara faktor kejayaan pengangkutan kereta api di negara maju adalah kesedaran mengenai alam sekitar yang tinggi. Apabila orang ramai menyedari pengangkutan kereta api juga antara mod pengangkutan yang paling mesra alam dan selamat, mereka akan mula menggunakannya,” katanya kepada Bernama.

Selain aspek alam sekitar, beliau menegaskan projek kereta api seperti ECRL akan dapat mengurangkan aliran trafik di jalan raya.

“Apabila aktiviti industri mula meningkat di pantai timur, pengangkutan kereta api akan dapat mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap jalan raya.

“Dengan peraturan dikuatkuasakan bagi kenderaan berat di jalan raya, ia akan dapat membantu mengurangkan pergerakan di jalan raya berikutan perkhidmatan kereta api akan dilihat sebagai pilihan yang lebih baik. Sebahagian negara-negara Eropah telah menguatkuasakan peraturan sedemikian, katanya.

“Ia akan menjadi alternatif yang baik bagi penumpang yang ingin melakukan perjalanan ke pantai timur terutamanya ke Kota Bharu,” katanya, sambil menambah jumlah bas yang berulang-alik setiap hari antara Lembah Klang dan Kota Bharu adalah amat tinggi.

Ditanya sama ada ECRL akan menjadi ‘gajah putih’ seperti didakwa oleh sesetengah pihak, Shahrin berkata tarikan utama perkhidmatan ini adalah tanda harga yang disertakan dengan perkhidmatan tersebut.

Selain untuk memulihara alam sekitar dan aspek keselamatan, harga yang akan dibayar bagi perkhidmatan itu turut penting, katanya.

“Faktor kedua adalah kesalinghubungan perkhidmatan itu. Memandangkan pengangkutan darat boleh dilakukan secara dari pintu ke pintu, khidmat ECRL sebaliknya perlu menumpukan usaha bagaimana menghubungkan stesen kereta api ke destinasi terbabit,” katanya.

“Perkhidmatan ini dapat menarik ramai pengguna jika faktor-faktor seperti kemampuan, kekerapan dan ketepatan, keselesaan dan kelajuan dapat ditepati.

“Walaupun keselamatan ketibaan merupakan objektif paling utama bagi mana-mana perkhidmatan pengangkutan, ini bagaimanapun bukanlah elemen penting yang dipertimbangkan orang ramai apabila membuat pilihan pengangkutan yang diingini. Oleh itu, bagi saya, jika faktor-faktor itu dapat dipenuhi, saya yakin ECRL tidak akan menjadi projek gajah putih,” katanya.

Selain itu, projek ECRL itu turut dilihat sebagai penting kerana dapat menseimbangkan pembangunan antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia, sebagaimana dibangkitkan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Yusri Yusof.

“Selama ini aspek seperti pelaburan sama ada domestik atau asing, sentiasa bertumpu di pantai barat.

“Namun, menerusi perkhidmatan kereta api yang merentasi bandar-bandar kecil Pahang seperti Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kota SAS, Bandar Pelabuhan Kuantan I dan II serta Cherating, ini pasti menyuntik manfaat kepada negeri ini dari segi menarik pelabur ke kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Kumpulan Thought Partners Group Consulting, Abi Sofian Abdul Hamid pula menjadikan impak Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) bagi pergerakan di pantai barat sebagai contoh yang baik.

Beliau yang sependapat dengan Shahrin berkata, apa yang utama adalah sama ada kalangan kerajaan negeri terbabit telah merancang pelan induk hala tuju masing-masing untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan oleh ECRL.

“Mereka perlu memulakannya sekarang supaya apabila ECRL beroperasi kelak, semua aspek asas itu juga telah sedia ada. Misalnya, jika perlu satu-satu zon ekonomi itu diwujudkan, ia perlu bermula sekarang dengan usaha pemasaran yang agresif,” katanya.

Abi Sofian, bagaimanapun mengingatkan, keadaan akan menjadi terlalu lewat jika mereka sebaliknya menunggu untuk projek ECRL itu siap terlebih dahulu sebelum memulakan usaha pemasaran berkaitan.

Fasa pertama ECRL itu dijadual bermula pada 2024.

Laporan BMI Research baru-baru ini menyebut, penambahbaikan aspek kesalinghubungan akan berkembang pada kadar purata 4.7 peratus setahun bagi tempoh antara 2018 dan 2027.

Mengulas selanjutnya, Abi Sofian turut menekankan kepentingan supaya stesen-stesen utama di sepanjang ECRL itu dihubungkan dengan kawasan tarikan seperti lokasi pelancongan dan pelbagai agensi berkaitan perlu bekerjasama untuk menawarkan pakej terbaik serta menarik.

“Mengapa orang di Eropah suka mengembara dengan kereta api? (Filem) ‘Murder on the Orient Express’ misalnya berdasarkan kepada pengembaraan serta tarikan perjalanan menggunakan kereta api. Begitu juga E&O Express (perkhidmatan kereta api mewah menghubungkan Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok).

“Semua tarikan yang berpotensi ini perlu diterokai dan dimanfaatkan ke tahap maksimum,” katanya.

— BERNAMA

About tok anjang

Check Also

SIP Lindungi Pencarum Hilang Kerja

Pekerja aset penting yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara. Menyedari hal ini, kerajaan mengambil …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *