Home / Politik / Pakatan Harapan / Berebut Kerusi Di Selangor: Ada Jawatankuasa, Rundingan Kerusi Tak Jalan Juga

Berebut Kerusi Di Selangor: Ada Jawatankuasa, Rundingan Kerusi Tak Jalan Juga

Selasa lalu, Pakatan Harapan Selangor yang diketuai DAP telah memulakan rundingan pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal tiba dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Rundingan yang dibuat melalui Jawatankuasa Perundingan Pembahagian Kerusi DUN Pakatan Harapan Selangor itu diadakan selepas pemimpin PAN dan DAP baru-baru ini mengkritik sikap serta cara Pengerusi gabungan pembangkang di negeri ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang seolah-olah tidak serius untuk memuktamadkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang sepatutnya menyelesaikan isu pembahagian kerusi DUN untuk PRU-14 membabitkan PKR, DAP, PAN dan PPBM Selangor itu nampaknya tidak menghasilkan apa-apa perkembangan positif meskipun ia dihadiri wakil daripada keempat-empat parti pembangkang terbabit.

Sebaliknya, rundingan itu dilihat seakan-akan bertambah sukar apabila PPBM Selangor semalam menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PKR yang dikatakan turut berkehendakkan sebahagian besar daripada 12 kerusi DUN berkenaan yang kesemuanya dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU-13.

Ketidakpuasan hati PPBM Selangor itu diakui sendiri oleh Ketua Penerangannya, Sallehudin Amiruddin apabila beliau menegaskan tidak akan membenarkan PKR bertanding walaupun salah satu daripada kesemua kerusi berkenaan sekaligus menolak semua cadangan pembahagian yang dibincangkan keempat-empat parti itu sejak kelmarin.

Menurutnya, 12 kerusi DUN itu merupakan keputusan serta kehendak akar umbi PPBM Selangor dan ia tidak boleh dirundingkan oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan di negeri ini.

Sebaliknya, beliau mahu PKR supaya kekal mempertahankan 14 kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada PRU-13 termasuklah kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku wakil rakyat Bebas ketika ini selepas dipecat daripada PKR pada Ogos 2014.

Malahan, beliau bersetuju supaya DAP kekal dengan bilangan 15 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu manakala PAN pula bertanding di 13 kerusi DUN yang dikuasai Pas ketika ini termasuk mempertahankan kerusi DUN Hulu Kelang dan Morib yang disandang oleh parti itu.

Melihat daripada senario terbaharu membabitkan Pakatan Harapan Selangor itu, rakyat sudah tentunya boleh menilai sejauh mana komitmen parti-parti gabungan pembangkang itu yang didapati sukar untuk membina pemuafakatan di antara mereka.

Sepatutnya, isu pembahagian kerusi itu boleh diselesaikan lebih awal jika gabungan pembangkang itu mengenepikan kepentingan dan agenda politik masing-masing. Namun, melihat situasi yang berlaku dalam Pakatan Harapan ketika ini, perkara itu jauh amat sekali wujud.

About tok anjang

Check Also

Kerana Berebut Kuasa, Rakyat Terabai

Perkembangan semasa politik di Selangor menyaksikan sikap sebenar pemimpin pembangkang yang pada hakikatnya tidak akan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *