Home / Politik / Pakatan Harapan / Azmin Sedang ‘Balas Dendam’ Pada PAS?

Azmin Sedang ‘Balas Dendam’ Pada PAS?

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang ‘membalas dendam’ kepada PAS apabila sengaja melambat-lambatkan agihan peruntukan wakil rakyat kepada 13 ADUN parti itu, kata penganalisis politik, Edwin Michael Muniandy.

PAS, walaupun dipujuk bekali-kali untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetap nekad mahu menentang gagasan itu berikutan enggan bekerjasama dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah.

Justeru Edwin berkata tidak mustahil Azmin menggunakan peluang ini untuk mengenakan PAS, yang masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, biarpun sudah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

“Ini yang kita panggil membalas dendam politik. Kita tahu bahawa PAS dengan PH khususnya tidak pernah sebulu, senada dan tidak pernah menyokong ideologi politik PH.

“Jadi ini adalah masa yang sesuai untuk PH membalas dendam terhadap PAS. Apa yang kita kesalkan disini ialah bagaimana kesetiaan PAS terhadap kerajaan negeri Selangor dibalas dengan cara politik yang cukup kotor,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Exco Selangor yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad mengesahkan hanya 13 ADUN PAS yang belum boleh menggunakan peruntukan wakil rakyat, berikutan disekat di Pejabat Daerah masing-masing.

Azmin sebelum itu menafikan peruntukan ADUN PAS disekat namun mengatakan terdapat ‘masalah teknikal’.

Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memberikan kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan berkenaan sehingga perayaan Tahun Baru Cina, sebelum pihaknya mengambil langkah susulan.

Kata dua itu diajukan kepada Azmin dan timbalan presiden PKR itu berkata ‘tulis lah surat, tak ada masalah’, jika mahu berjumpa dengannya bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Malah Azmin berseloroh mustahil beliau menafikan hak ADUN PAS sedangkan kerajaan negeri tetap memberikan keistimewaan kepada wakil rakyat Umno-Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Azmin juga berkata beliau sedar peruntukan itu adalah untuk rakyat Selangor.

Mengulas perkara itu, Edwin berkata tidak wujud istilah ‘berkhidmat untuk rakyat’ dalam kamus PH selama ini.

“Kalau kita bercakap dalam konteks tanggungjawab politik kepada rakyat, sebenarnya itu tidak wujud dalam kamus politik pembangkang.

“Rakyat tidak pernah wujud dalam kamus politik pembangkang, semuanya tentang kuasa, perebutan kuasa dan siapa yang mendominasi siapa, siapa yang memiliki status quo itu.

“Sama isu yang melibatkan Azmin dan PAS ini, walaupun ini adalah hak rakyat, wang itu adalah untuk kebaikan rakyat tetapi politik dan kuasa melebihi rakyat dalam konteks politik pembangkang ini,” ujarnya lagi.

PAS Selangor sebelum ini mengumumkan akan meletakkan calon di 42 kerusi DUN negeri itu pada PRU14.

Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dalam reaksinya berkata PAS tidak sepatutnya memohon peruntukan itu kerana parti itu nekad menentang gagasan itu pada pilihan raya akan datang.

– Antarapos

About tok anjang

Check Also

Undi Logo ‘Mata’ Ibarat Menang Sorak, Kampung Tergadai

Masyarakat Melayu perlu berhati-hati dalam membuat pertimbangan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana gabungan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *