Home / Ekonomi / Dakwaan 50,000 Pekerja Dihentikan Tahun Ini Tidak Benar

Dakwaan 50,000 Pekerja Dihentikan Tahun Ini Tidak Benar

Dakwaan beberapa pihak 50,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini terutamanya disebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan adalah tidak betul, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perubahan dalam struktur teknologi dan perindustrian yang mengakibatkan penggantian pekerja adalah ciri ekonomi dipacu pengetahuan, walaupun dalam keadaan ekonomi baik, dan ini juga berlaku di Malaysia ketika negara beralih daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Meskipun akan ada pemberhentian pekerja, pada pandangan kami kebanyakan pekerja yang diberhentikan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan sedang berkembang dan jumlah pembuangan pekerja tahun ini mungkin tidak seramai seperti didakwa,” kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbincangan mengenai isu kos menjalankan perniagaan dan peluang pekerjaan di mesyuarat Kabinet dan Majlis Ekonomi minggu lepas, diikuti sesi dialog dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan 21 anggotanya pada 8 Januari lalu.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi mampan Malaysia – 5.9% dalam tempoh 9 bulan pertama 2017 dan unjuran kira-kira 5 hingga 5.5% pada 2018, akan membawa kesan positif kepada peluang pekerjaan, termasuk dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Sejumlah 2.26 juta pekerjaan diwujudkan di bawah Program Transformasi Ekonomi setakat ini, manakala satu kaji selidik yang dijalankan SME Corporation dalam suku ke-3 2017 mendapati 40% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditemu bual menjangkakan perniagaan mereka bertambah baik dalam tempoh terdekat ini.”

Kerajaan memberi perhatian kepada keperluan sumber manusia industri yang berkembang dengan mengambil langkah menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi perubahan ciri pekerjaan, termasuk strategi meningkatkan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja, terutamanya dalam keadaan “megatrend” seperti Industri 4.0 dan automasi, kata Mustapa.

“Meskipun kami mengakui ada berlaku pemberhentian pekerja, namun kami perlu tekankan kebanyakan pekerja yang diberhentikan telah diambil bekerja semula oleh syarikat baharu dan sedia ada ketika syarikat itu berkembang untuk memenuhi peningkatan permintaan.

“Sebagai contoh, peratusan besar pekerja yang dihentikan daripada syarikat seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang diserap firma lain yang mengembangkan operasi mereka seperti Keysight, Inari, HP, Osram and Infineon.”

Dari 2014 hingga 2016, projek pembuatan baharu yang dilaksanakan mewujudkan lebih 153,000 pekerjaan dan tambahan 32,700 pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diwujudkan daripada pelaburan diperoleh dalam Januari-September 2017.

Mustapa berkata, sejumlah besar pelaburan baharu dan pengembangan yang dilaksanakan syarikat tahun lepas seperti Broadcom dan Osram di Pulau Pinang, Konica Minolta di Melaka, Infineon di Kedah, Roland dan Ikea di Selangor serta BMW di Johor, mewujudkan lebih banyak pekerjaan di negara ini.

Katanya, syarikat minyak dan gas juga mula mengambil semula pekerja, terutamanya dalam perniagaan huluan dan hiliran apabila mereka memanfaatkan harga minyak tinggi ketika ini.

“Juga penting untuk dimaklumkan setakat suku ke-3 2017, jumlah pekerja bergaji meningkat kepada 14.48 juta daripada 14.42 juta dalam suku sebelumnya.”

Isu lain yang dibincangkan semasa dialog itu mengenai pengambilan buruh asing.

“Mereka terus menekankan tentang perlunya ada semakan semula holistik dasar-dasar bagi buruh asing dan meningkatkan kecekapan dan pemudahan pentadbiran bagi menggalakkan persekitaran perniagaan lebih kondusif.”

Pada masa depan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melibatkan sektor swasta untuk merapatkan jurang antara permintaan mereka dan keseluruhan dasar kerajaan.

“Kadar pengangguran kita ketika ini sekitar 3.3% merupakan terendah di rantau ini dan dijangka kekal stabil.

“Kita percaya pelaksanaan dasar makroekonomi kukuh, cadangan bajet 2018 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), serta eksport dan aliran pelaburan kukuh berterusan akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara.”

Sumber: BERNAMA

About tok anjang

Check Also

Najib Tegaskan Hutang Kerajaan Persekutuan Bukan Di Paras Bahaya

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak menegaskan kekeliruan dan fitnah berkenaan hutang Kerajaan Persekutuan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *