Home / Politik / Barisan Nasional / Musa Hitam : Sokong RCI Selepas PRU14, Tidak Perlu Tergesa-Gesa

Musa Hitam : Sokong RCI Selepas PRU14, Tidak Perlu Tergesa-Gesa

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, menyokong cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat tragedi Memali pada 1985, namun mahu ia dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Musa yakin banyak pihak khususnya waris mangsa yang terkorban, termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlu mendapat keadilan sewajarnya, dalam tragedi berdarah yang mengorbankan 18 orang itu, 33 tahun lalu.

“Saya ingin menyatakan, bahawa saya tiada halangan dan sangat mengalu-alukan penubuhan RCI menyiasat tragedi Memali.

“Dengan syarat, seperti yang saya katakan (sebelum ini), RCI ditubuhkan selepas pilihan raya umum.

“Kalau tidak, ia akan menyebabkan ketidakadilan kepada mangsa yang mengorbankan nyawa mereka, termasuk anggota polis, sekiranya penubuhan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada New Straits Times (NST), hari ini.

Beliau mengulas cadangan pelbagai pihak, yang mahu RCI ditubuhkan segera kerana bimbang semakin lama ia ditangguh, lagi ramai saksi peristiwa berdarah itu yang meninggal dunia.

Desakan itu berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengaitkan mufti dan PAS dalam tragedi berkenaan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim, memberitahu BH, kelmarin, penubuhan RCI dapat merungkai kisah sebenar dan individu bertanggungjawab di sebalik peristiwa itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula dilaporkan berkata, permohonan maaf oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa hari lalu, tidak menutup desakan supaya disegerakan penubuhan RCI bagi menyiasat peristiwa Memali.

Musa yang berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri di antara tahun 1981 hingga 1986, sebelum ini pernah menyatakan pendirian beliau mahu RCI ditubuhkan selepas pilihan raya umum.

Tragedi Memali mengorbankan 18 orang, termasuk empat anggota polis dan 14 orang awam serta berpuluh yang lain cedera, kebanyakannya penyokong PAS.

Mereka ditembak pasukan keselamatan ketika cuba melindungi guru agama, Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya daripada ditahan polis di Memali, Baling.

Dalam peristiwa itu, Ibrahim yang juga pemimpin PAS tempatan, turut terbunuh.

-Berita Harian

About tok anjang

Check Also

Mahathir Kini De Facto Pakatan Harapan?

Adakah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil alih status pemimpin De Facto …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *