Home / Ekonomi / RCI: Kerugian Nafikan Negara Peluang Pembangunan

RCI: Kerugian Nafikan Negara Peluang Pembangunan

Kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an telah memberi impak negatif kepada ekonomi negara yang mana ia telah menafikan negara peluang-peluang pembangunan, demikian kata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Suruhanjaya itu membuat kesimpulan bahawa BNM telah menanggung kerugian akibat urus niaga mata wang asing pada 1992, 1993 dan 1994 dan nilai kerugian bagi ketiga-tiga tahun itu berjumlah RM31.5 bilion.

“Terdapat bukti daripada dokumen dan keterangan saksi-saksi untuk membuktikan BNM telah melakukan aktiviti dagangan spekulatif bagi keuntungan,” kata RCI yang mengumumkan laporan penemuan itu hari ini.

Sebagai sebahagian daripada siasatan itu, suruhanjaya menjalankan siasatan terbuka terhadap 25 saksi iaitu kakitangan BNM yang ada sekarang dan yang dahulu serta bekas anggota kakitangan awam dan pentadbiran.

Suruhanjaya itu juga berpendapat terdapat penyembunyian yang disengajakan kerana laporan tahunan BNM tidak menyatakan kerugian sebenar yang ditanggung daripada urus niaga mata wang asing antara 1992 dan 1994.

Kerugian itu, kata suruhanjaya tersebut, bukan sahaja menafikan negara peluang pembangunan tetapi juga menjejaskan keupayaan BNM untuk memenuhi peranannya yang diberi mandat sebagai bank pusat negara.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu berpendapat langkah-langkah penting telah diambil oleh BNM dalam menambah baik tadbir urus pengurusan rizab.

“Tiada peningkatan lanjut disyorkan, kerana pelbagai langkah penambahbaikan dalam keseluruhan tadbir urus dan kawalan dalaman bank telah ditangani dengan secukupnya dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701),” kata suruhanjaya itu.

RCI juga menimbangkan pemisahan peranan Gabenor sebagai Ketua Eksekutif BNM dan pengerusi lembaga pengarah.

“Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan terhadap amalan bank-bank pusat lain, khususnya di negara-negara maju, suruhanjaya berpandangan amalan semasa perlu dikekalkan,” kata suruhanjaya itu.

– Bernama

About tok anjang

Check Also

RCEP: Malaysia, India Bakal Kuasai 40% Dagangan Global

Malaysia dan India bakal menguasai 40 peratus perdagangan global apabila Rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *