Home / Ekonomi / Jepun Tambah Pelaburan RM559 Juta Di Malaysia

Jepun Tambah Pelaburan RM559 Juta Di Malaysia

Jepun terus menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan utama dan dipercayai di rantau Asia dengan penambahan RM559 juta nilai pelaburan bagi 16 projek pembuatan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu berdasarkan projek yang telah mendapat kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi enam bulan pertama tahun ini yang menunjukkan keyakinan negara itu terhadap perkembangan ekonomi Malaysia yang kukuh.

Katanya, keyakinan itu di­terjemahkan apabila 75 peratus daripada pelaburan tersebut merupakan projek pengembangan dan kepelbagaian oleh syarikat Jepun yang sedang beroperasi di negara ini.

“Pelaburan semula ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai lokasi utama bagi syarikat daripada Jepun untuk menjalankan perniagaan.

“Malaysia menghargai kesi­nambungan pelaburan semula itu apabila syarikat Jepun di sini juga menjadi penyumbang kepada agenda menjana pertumbuhan mampan dan inklusif serta me­ngubah negara ke arah persediaan menuju Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Forum Perniagaan Malaysia Nikkei 2017, bertemakan Era Baharu ASEAN: Malaysia Sebagai Hab Perniagaan Asia yang berlangsung di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dan Pengarah Urusan Kanan Nikkei Inc., Hirotomo Nomura.

Najib berkata, Jepun memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dan merupakan salah satu daripada empat sumber pelaburan utama sejak tahun 1980-an.

Menurutnya, ia juga merupakan negara asing kedua terbesar selepas Singapura dalam saham pelaburan langsung asing (FDI) dengan jumlah pelaburan seba­nyak RM70 bilion sehingga September tahun ini.

Tambahnya, bagi sektor pembuatan, Jepun juga mencatatkan nilai tertinggi dengan 2,621 projek yang telah dilaksanakan bernilai RM88.5 bilion sehingga tahun lalu.

Dalam pada itu, Najib berkata, Laporan Perniagaan Bank Dunia 2018 terus mengekalkan Malaysia antara 25 negara di dunia yang menjadi pilihan untuk menjalankan perniagaan me­nguntungkan bagi tahun hadapan.

Dalam pada itu menurutnya, Bank Pembangunan Asia juga mengenal pasti Malaysia sebagai salah satu peneraju utama ekonomi daripada tujuh negara Asia sebaris negara besar lain seperti China, India dan Jepun.

Tambahnya, dengan ada­nya asas ekonomi yang kukuh membolehkan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang sihat walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.

“Pada suku ketiga tahun ini Malaysia mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus berbanding suku sebelumnya dengan mencatatkan sebanyak 5.8 peratus.

“Ini menunjukkan Program Transformasi Ekonomi telah berjaya mencipta 2.26 juta pekerjaan dan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar mencecah 50 peratus serta mengurangkan defisit daripada 6.7 peratus kepada tiga peratus tahun ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online

About tok anjang

Check Also

RCEP: Malaysia, India Bakal Kuasai 40% Dagangan Global

Malaysia dan India bakal menguasai 40 peratus perdagangan global apabila Rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *