Home / Ekonomi / Antarabangsa / Malaysia Berhak Tuntut Batu Puteh!

Malaysia Berhak Tuntut Batu Puteh!

BIDALAN Melayu menyebut, ‘jangan buat kerbau tanduk panjang’, bermaksud jangan campuri urusan orang lain. Ini tepat dengan apa yang berlaku berkaitan keputusan Malaysia menyemak semula kes Batu Puteh, batuan di sudut timur Selat Singapura, berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, menjadi milik Singapura.

Pada Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan semakan ke atas keputusan ICJ pada 2008 ke atas Batu Puteh atau nama diberikan Singapura, Pedra Branca. Kemudian pada Julai 2017, Malaysia memohon interpretasi penghakiman ICJ ke atas keputusan 2008.

Ini menyebabkan ramai pakar undang-undang antarabangsa di Singapura membuat pelbagai komen bukan-bukan ke atas hal ehwal dalaman politik Malaysia, seperti artikel diterbitkan pada Julai 2017 bertajuk Malaysia throwing the kitchen sink with second Pedra Branca Challenge, say experts. Terkini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pula menuduh tindakan Malaysia menyemak Batu Puteh bermotif politik.

Batu Puteh kini sebahagian Singapura, batuan terletak 7.7 batu nautika dari persisiran Johor dan 24 batu nautika dari persisiran Singapura. Batuan Tengah atau Middle Rocks, terletak 1km dari Batu Puteh ditetapkan sebahagian Malaysia. ICJ tidak menyatakan apa-apa terkait Tubir Selatan atau South Ledge.

Singapura membuat tuntutan, antara lain berdasarkan surat M Seth Bin Saaid, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 menafikan kedaulatan Johor ke atas Batu Puteh. Surat ini meyakinkan ICJ menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada 2008.

Bagaimanapun, Putrajaya kini mengutarakan bahawa tiga dokumen baharu telah ditemui yang menafikan Batu Puteh sebahagian Singapura. Oleh kerana itu, Malaysia memfailkan semakan di ICJ pada Februari lalu.

Kritikan berkaitan urusan dalaman politik Malaysia dibuat pelbagai pihak di Singapura, daripada pakar undang-undang antarabangsa sehingga orang nombor satu republik itu. Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Nasional Singapura, Profesor Simon Chesterman dilaporkan menyebut, Kerajaan Malaysia sekarang sangat terdesak dan perlu tunjuk ‘mereka telah melakukan apa yang patut’ untuk mendapat sokongan politik.

Kritikan ini juga disokong Dr Mustafa Izudin, felo di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS), Institut Yusof Ishak, yang mengatakan permohonan kedua kepada ICJ pada Julai 2017 adalah ‘langkah strategik yang sengaja dilakukan untuk menghidupkan isu Batu Puteh bagi tujuan mendapatkan sokongan domestik’.

Beliau juga dilaporkan berkata, semakan ini sebagai ‘bukti’ kepada pengundi bahawa pihak Kerajaan Malaysia sebenarnya melakukan sesuatu untuk mengambil semula Batu Puteh daripada Singapura agar dilihat sebagai wira. Terkini, Hsien Loong juga dilaporkan berkata semakan ini ada kaitan dengan urusan dalaman politik Malaysia.

Kritikan ini tidak wajar apabila ia diungkapkan pakar undang-undang antarabangsa. Pertama, permohonan Malaysia tidak melanggar peruntukan Statut ICJ.

Putrajaya hanya amal haknya sebagai negara anggota kepada prosiding itu tertakluk kepada Artikel 61(1) Statut ICJ. Tambahan lagi, permohonan semakan dibuat sebelum berakhirnya tempoh 10 tahun selepas keputusan terdahulu dibuat.

Selesai secara damai

Kedua, permohonan dilakukan adalah untuk menyelesaikan perkara ini secara damai, seperti disyorkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jadi, kritikan itu, secara langsung atau tidak langsung mempamerkan keangkuhan mereka terhadap hak Malaysia sebagai negara yang terbabit dalam prosiding.

Kritikan ini mungkin hanya pendapat peribadi ahli akademik Singapura. Tetapi, sekarang ini kritikan itu juga disokong Perdana Menteri Singapura. Sekiranya benar inilah sentimen Kerajaan Singapura, ini boleh menjejaskan semangat ASEAN yang berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan negara lain.

Malaysia menghormati undang-undang berkaitan urusan domestik Singapura, sebagai contoh dasar mengenai hak istimewa masyarakat Melayu minoriti di republik itu yang dilindungi Artikel 152 (1) Perlembagaan Singapura. Artikel 152 (2) Perlembagaan Singapura memperuntukkan perlindungan terhadap bahasa Melayu, tetapi majoriti rakyat Singapura, seperti dilaporkan Straits Times Singapura pada 2014, tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Singapura.

Satu lagi laporan akhbar memburuk-burukkan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, seperti diterbitkan The Independent.sg pada Ogos lalu adalah contoh tegar bahawa Singapura tidak peduli kepentingan bahasa Melayu walaupun ia bertaraf bahasa kebangsaan. Dalam perkara itu, seorang warganegara Singapura, Justinian Tan, 25, dikatakan maut apabila HSA dikatakan meminta pembayaran dahulu sebelum pembedahan dilakukan.

Ternyata laporan itu palsu dan portal The Independent.sg menarik balik artikel ini dan memohon maaf atas laporan tidak bertanggungjawab. Apa yang penting, laporan The Independent.sg itu juga memetik bahawa ada salah komunikasi antara rakan Tan dengan kakitangan hospital kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

Untuk tempoh satu dekad, Malaysia dan Singapura gagal melukis garis sempadan maritim sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Usaha ini buntu sejak 2013. Sebagai jiran yang baik, Malaysia ambil inisiatif menyelesaikan kes ini di ICJ.

Tidak dapat difahami kenapa pernyataan tidak berasas ini dibuat ke atas Malaysia. Sekalipun Kerajaan Malaysia guna Batu Puteh untuk dapat undi, ini hal dalaman Malaysia dan tidak ada kaitan dengan Singapura.

Ada asas perundangan kukuh untuk Malaysia membuat semakan kes di ICJ. Perlu diingat, hubungan dua hala yang baik di antara Putrajaya dan Singapura dapat dijaga kerana kedua-dua negara saling menghormati dan bukannya dengan cara saling memburukkan.

Tidak usahlah mereka mencampuri urusan dalaman politik Malaysia, bak kata bidalan, jangan buat kerbau tanduk panjang.

Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Profesor Pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia

About tok anjang

Check Also

Malaysia Bantah Baitulmaqdis Ibu Negara Israel Walaupun Najib Kawan Baik Trump

Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baharu menggantikan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *