Home / Ekonomi / Siapa Di Sebalik Masalah Lambakan Hartanah?

Siapa Di Sebalik Masalah Lambakan Hartanah?

Kita percaya sangat pada kuasa pasaran. Kita percaya demokrasi perniagaan ialah membiarkan kuasa pasaran menentukan bentuk bekalan dan permintaan. Malah, lambungan harga juga dibiarkan dipacu kuasa pasaran.

Demokrasi kuasa pasaran kini membawa bencana. Sektor hartanah bakal sekali lagi mendedahkan kita pada bahaya kemelesetan ekonomi sekiranya tidak dikawal dengan segera.

Laporan Bank Negara bertajuk Ketidakseimbangan Dalam Pasaran Hartanah mendedahkan, pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual berjumlah 130,690 unit, tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus jumlah unit tidak terjual itu berada dalam kategori harga melebihi RM250,000. Melangkaui harga mampu milik.

Secara keseluruhan, 61 peratus jumlah tidak terjual terdiri daripada bangunan tinggi dengan 89 peratus daripadanya melebihi RM250,000.

Melihatkan realiti lambakan ini berpunca daripada sikap tamak pemaju dalam menyediakan rumah kos tinggi, kita berasa sakit hati. Betapa industri perumahan dipacu oleh ketamakan dan sikap haloba pemaju.

Permintaan rumah kos rendah sangat tinggi. Malah, kerajaan terkial-kial menyediakan keperluan ini dalam pelbagai usaha. Malah, antara masalah kemerosotan populariti kerajaam di kalangan pengundi muda ialah isu perumahan.

Jadi mengapa peneraju industri perumahan tidak membantu? Mereka tahu ini masalah utama negara. Malah, masalah rakyat. Selain ia juga masalah kerajaan.

Jawabnya mudah. Pemaju tidak berada bersama semangat kerajaan. Ini budaya kiasu di kalangan pemaju perumahan yang kepala otaknya hanya mahukan keuntungan berganda. Dengan lambakan RM55 bilion hartanah tidak terjual, dia mendedahkan kita pada krisis ekonomi.

Arahan pembekuan pembinaan kondominium dan premis komersial bernilai RM1 juta ke atas satu langkah drastik. Tetapi apakah ia berkesan, satu soalan lain pula?

Soalan utama, apakah lambakan sedia ada mampu terjual. Bukankah ia tidak terjual sekarang kerana pembeli tidak mampu? Dengan purata harga RM350 ribu, jangan mimpi anak muda mampu memilikinya.

Malah, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerajaan perlu masuk campur bagi mengimbangi pasaran daripada menjadi semakin parah.

Jadi ia satu peringatan: Kuasa pasaran akhirnya menjadikan keadaan ekonomi negara turut terjejas. Kuasa pasaran yang didominasi budaya kiasu dan tidak berserta semangat kenegaraan adalah musuh utama dalam industri perumahan dan hartanah.

Malah, keadaan akan terasa lebih parah kelak, kerana realitinya, sektor perbankan tidak akan menawarkan pinjaman kerana menyedari masalah ini satu lambakan lebihan permintaan.

“Hakikatnya, institusi kewangan berat memberi pembiayaan kepada projek mewah dan hartanah komersial kerana mereka tahu wujud lebihan bekalan,” kata Johari.

Aneh, ketika anak muda dan golongan berpendapatan rendah dan sederhana setengah mati berharap memiliki rumah, di negara ini, rumah mahal berlambak-lambak.

Jadi sekarang, apa nak jadi?

Kiasu pemaju hartanah adalah musuh utama kita!

About tok anjang

Check Also

RCI: Kerugian Nafikan Negara Peluang Pembangunan

Kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an telah memberi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *