Home / Politik / Barisan Nasional / Bukan Islam Tidak Suka Prinsip Wasatiyyah Najib Razak Kerana Islamofobia

Bukan Islam Tidak Suka Prinsip Wasatiyyah Najib Razak Kerana Islamofobia

Seorang ahli Majlis Profesor Negara (MPN) mendakwa masyarakat bukan Islam di negara ini tidak menyenangi, malah ada yang mungkin menolak prinsip wasatiyyah diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua kluster sejarah, warisan dan sosiobudaya MPN, Prof Datuk Teo Kok Seong memetik satu tinjauan umum yang dilakukan Prof Dr Wan Kamal Mujani, dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2 atau 3 tahun lalu ke atas 5,000 responden dari seluruh negara, mendapati 2 faktor menyumbang kepada keadaan itu.

“Sebab utamanya wasatiyyah dipersepsikan sebagai sesuatu yang Islamik, yakni bercirikan agama Islam dan masyarakat bukan Melayu dan bukan Muslim di negara kita juga mempunyai Islamofobia,” katanya dalam Seminar Wasatiyyah Dalam Pembangunan Malaysia di UKM hari ini.

Tajuk pembentangannya mengenai prinsip wasatiyyah serta penerimaan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

Pembentang lain termasuk Timbalan Pengerusi MPN, Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin; Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif International Institute Of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Prof Madya Mohamed Azam Mohamed Adil dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Nasharuddin Mat Isa.

Mengulas lanjut, Teo yang juga felo utama Institut Kajian Etnik di UKM berkata, masyarakat bukan Islam menolak prinsip Wasatiyyah kerana mereka tidak memahami Islam.

“Akibat daripada salah konsep dan persepsi tentang Islam dan masyarakat Islam itu. Dengan kata lain, masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam kurang (memahami), malah tidak mengenali Islam itu dengan baik, sama ada Islam sebagai agama atau cara hidup,” katanya.

Perdana menteri melalui blognya, najibrazak.com pada 27 Mac berkata, Kabinet meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara pada 21 Oktober 2016 untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian Negaraku.

Lima objektif utama dasar itu ialah meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia terhadap pendekatan wasatiyyah yang menjadi asas utama dalam setiap kehidupan; penyelesaian kepada permasalahan masyarakat yang dibelenggu isu ekstremisme dan radikalisme melampau serta integriti.

Memperkukuhkan penghayatan wasatiyyah bagi mewujudkan semangat toleransi rakyat yang tinggi; membangunkan bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai dan etika unggul berkonsepkan wasatiyyah dalam segenap kehidupan serta menjadikan wasatiyyah sebagai cara hidup rakyat dalam segenap aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial dan politik.

Najib berkata, kerajaan turut menyediakan pelan strategik 5 tahun untuk melaksanakan pendekatan wasatiyyah mulai 2016 hingga 2020.

Katanya, wasatiyyah yang berasaskan prinsip kesederhanaan, keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan, penting bagi mengelakkan rakyat terperangkap dalam fahaman mahupun ideologi terlalu ekstrem atau liberal sehingga terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad yang digunakan IS.

FMT

About tok anjang

Check Also

Malaysia Bantah Baitulmaqdis Ibu Negara Israel Walaupun Najib Kawan Baik Trump

Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baharu menggantikan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *