Home / Sukan / Kontrak Diperbaharui, SIC Anjur MotoGP Sehingga 2021

Kontrak Diperbaharui, SIC Anjur MotoGP Sehingga 2021

Kejohanan MotoGP Dunia FIM akan dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang sehingga 2021, selepas Sepang International Circuit (SIC) memperbaharui kontraknya dengan pemegang hak, Dorna Sports, semalam.

SIC disahkan bakal menganjurkan perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang untuk 5 tahun akan datang, iaitu pusingan ke-17 daripada 18 pusingan kejohanan dunia itu.

Kontrak baharu itu menyaksikan hubungan antara SIC dan Dorna bertambah kukuh, bagi terus mempamer dan membangunkan masa depan perlumbaan motosikal di rantau Asia Pasifik dan dunia.

Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya berkata, kontrak baharu itu akan berakhir 2021.

“Saya gembira memaklumkan kami sudah menandatangani kontrak lanjutan selama 5 tahun berakhir 2021. Kami akan menganjurkan MotoGP untuk 5 tahun lagi.

“Saya percaya kita akan melihat maklum balas yang baik daripada orang ramai. Saya gembira untuk mengumumkannya kerana ini adalah rundingan pertama saya sebagai Pengerusi SIC dan saya harap keputusan ini akan menerima sokongan,” katanya pada sidang media semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia tidak sukar meyakinkan kerajaan menyokong Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia kerana SIC mencatat rekod penonton setiap tahun.

“MotoGP bukan sekadar tontonan untuk rakyat Malaysia sahaja, malah menjadi platform bagi bakat baharu negara ini bersaing di kejohanan dunia dan berlumba di laman sendiri. Saya rasa inilah kunci kepada GP Malaysia.

“Pada masa sama, ia bukan hanya perjanjian antara Dorna dan SIC – ia adalah perkongsian yang ada dan sokongan diberikan antara satu sama lain, minat bersama yang ada untuk mempromosikan acara ini menjadi lebih baik setiap tahun,” kata Razlan.

Sementara itu, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata, SIC bukan sekadar menganjurkan perlumbaan MotoGP, tetapi juga proses pemilihan Piala Bakat Asia yang diadakan setiap tahun.

“Kami sudah berada di sini sejak 1999 dan sudah lama bersama. Kami cukup bangga dengan GP Malaysia, jumlah penonton yang semakin meningkat.

“Dorna bangga memperbaharui kontrak ini untuk sekurang-kurangnya 5 tahun lagi. Cara SIC memahami dan menyokong perlumbaan ini sangat penting.

“Di sini, penganjurannya cukup baik dan kami cuba melakukannya bersama. Kami bangga SIC menganggap kami sebagai aset,” kata Ezpeleta.

About tok anjang

Check Also

Nasib Malang Insentif Atlet Paralimpik Singapura Dipotong

Barang kali atlet paralimpik Malaysia boleh dianggap paling bertuah di peringkat antarabangsa berbanding rakan senasib …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *