Home / Sukan / TMJ Mungkin Akan Buat Pusingan U?

TMJ Mungkin Akan Buat Pusingan U?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelihatan akan membuat pusingan U terhadap keputusannya untuk tidak bertanding merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila kongres luar biasanya berlangsung awal tahun depan.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini berkata tidak mahu menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang akan melepaskan jawatannya, namun pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah mendedahkan perancangan seandainya beliau berada di kerusi Presiden FAM dalam pertemuan dengan wakil-wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab.

Pertemuan itu diadakan atas usaha Timbalan Presiden Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi yang turut mendakwa sepatutnya sebanyak 17 wakil ahli gabungan FAM hadir, di sebalik 12 yang berada di dalam pertemuan di Johor Bahru itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd. Ibrahim yang merupakan antara mereka yang menyertai pertemuan tertutup dengan Tunku Ismail pada Ahad lalu menjelaskan TMJ telah mengumumkan beliau sudah memiliki senarai penaja yang bakal menaja FAM sekiranya dipilih sebagai Presiden.

“Tunku Ismail sudah ada se­narai penaja yang bersedia untuk bekerjasama dengan FAM sekiranya dipilih sebagai presiden baharu,” kata Rosman kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perkembangan terbaharu ini memberi tanda yang menunjukkan Tunku Ismail, di sebalik penolakkannya untuk dicalonkan sebagai Presiden FAM, berkemungkinan mengubah pendirian tetapi ‘masih malu-malu’ untuk berterus terang.

Bagaimanapun, Rosman menegaskan TMJ tidak pula mengesahkan kesedia­annya untuk menggantikan Tengku Abdullah.

Dalam pada itu, ketika di­tanya pandangan beberapa pihak bahawa FAM bukan pentas yang sesuai untuk golongan kerabat atau ahli politik, Rosman berpendapat mana-mana individu boleh menjadi pemimpin FAM jika memiliki kelayakan dan latar belakang mereka bukan isu utama.

“Kalau mahu dengar cakap semua orang saya fikir dalam sebulan kena tukar dua presiden. Siapa yang layak itu paling pen­ting tanpa memikirkan individu tersebut adalah ahli politik ataupun golongan kerabat,” katanya.

Rosman turut berkata, ketika ini semua ahli gabungan yang te­lah menyatakan sokongan terhadap Tunku Ismail tidak bercadang mengadakan pertemuan dengan individu lain yang juga dikaitkan dengan badan induk itu, terma­suk Tan Sri Tony Fernandes.

“Saya lihat kesediaan Tan Sri Tony dari sudut positif namun kami tidak mempunyai pe­rancangan untuk bertemu beliau kerana Tunku Ismail belum memberi sebarang kata putus.

“Jika Tunku Ismail memberi jawapan negatif, saya dan yang lain akan berbincang untuk melihat individu mana yang sesuai. Anda (media) perlu ingat tidak mungkin kami (ahli gabungan) akan pergi jumpa mana-mana individu untuk mencalonkan mereka jadi presiden sedangkan Tunku Ismail masih belum memberi kata putus.

“Isu Presiden FAM perkara besar dan tidak boleh dilakukan sambil lewa. Apabila sudah menerima keputusan (positif) daripada Tunku Ismail barulah kami pergi berjumpa dengan Tan Sri Tony pula,” katanya lagi.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Tony yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia sedia untuk berkhidmat dengan FAM tanpa mengira apa jawatan, bentuk dan cara.

Rosman turut mengesahkan perjumpaan tertutup bersama Tunku Ismail sepatutnya diha­diri oleh 17 wakil ahli badan gabu­ngan namun lima daripadanya tidak dapat hadir iaitu Persatuan Bolasepak Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia.

About tok anjang

Check Also

Nasib Malang Insentif Atlet Paralimpik Singapura Dipotong

Barang kali atlet paralimpik Malaysia boleh dianggap paling bertuah di peringkat antarabangsa berbanding rakan senasib …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *