Home / Politik / Barisan Nasional / Malaysia wujud pada 1957 atau 1963?

Malaysia wujud pada 1957 atau 1963?

merdeka2Malaysia bertunjangkan negeri-negeri Melayu, negeri-negeri Selat serta Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, dua koloni Inggeris di Pulau Borneo. Baru-baru ini terdapat pertikaian mengenai tahun sebenar negara ini dilahirkan.

Ada dikalangan rakyat Malaysia yang menyatakan bahawa 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh kemerdekaan Malaysia seperti yang dilaporkan di media atas talian dan blog-blog.

Adakah Malaysia adalah negara kesinambungan dari Malaya atau adalah sebuah negara baru yang ditubuhkan pada tahun 1963?

Persekutuan Tanah Melayu

Persekutuan Tanah Melayu atau Persekutuan Malaya wujud hasil gabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Apabila pemerintahan British diasaskan semula di Malaya setelah Jepun menyerang kalah di akhir Perang Dunia Kedua, pihak British telah mula menguar-uarkan gagasan Malayan Union. Malayan Union bakal mewujudkan pemerintahan yang lebih sistematik dan tersusun untuk Malaya tetapi dalam masa yang sama menghakis kedaulatan sultan-sultan Melayu dan kedudukan orang Melayu sebagai kaum Bumiputera di Tanah Melayu.

Akibat bantahan berterusan terutamanya daripada orang-orang Melayu, gagasan Malayan Union gagal dan digantikan dengan Persekutuan Malaya pada tahun 1948. Tempoh sembilan tahun dari 1948 sehingga 1957 telah digunakan bagi mempersediakan Malaya untuk berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan. Singapura tidak dimasukkan ke dalam Persekutuan dan dijadikan koloni yang berasingan.

Menurut Sir Zelman Cowan, seorang pakar sejarah dari Australia, pemerintahan langsung British dalam Persekutuan Malaya hanya terhad kepada hal-ehwal luar negara dan pertahanan. Dalam erti kata yang lain, Malaya telah pun menuju berkerajaan sendiri apabila Persekutuan Malaya ditubuhkan pada tahun 1948.

Malaya telah mengadakan pilihanraya pertama pada tahun 1955 dengan kemenangan besar di pihak Parti Perikatan. Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Menteri Malaya yang pertama dan kemudiannya dilantik semula sebagai Perdana Menteri apabila Malaya menjadi sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Gagasan Malaysia adalah idea bernas Tunku Abdul Rahman, yang mencadangkan sebuah persekutuan diwujudkan di antara Negara Malaya yang merdeka dengan koloni-koloni Inggeris iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura serta Brunei, yang pada ketika itu adalah sebuah wilayah lindungan British. Brunei memilih untuk tidak menyertai Persekutuan. Singapura merupakan penyokong kuat Persekutuan Malaysia kerana ini adalah salah satu kaedah untuknya mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Singapura hanya diberikan taraf pemerintahan sendiri pada tahun 1959. Singapura meraih kemerdekaan di dalam Malaysia dan menjadi negara yang berasingan setelah dikeluarkan dari Persekutuan dari tahun 1965. Sementara itu, Suruhanjaya Cobbold yang dihantar ke Sabah dan Sarawak melaporkan dua-pertiga rakyat kedua-dua koloni British ini menyokong gagasan Malaysia.

Hari Pemerintahan-Sendiri Sabah kini disambut pada 31 Ogos manakala Sarawak menyambutnya pada 22 Julai dan seringkali perayaan ini dianggap sebagai hari kemerdekaan. Menurut British Documents on the End of Empire yang diedit oleh AJ Stockwell, anggapan ini adalah tidak tepat, memandangkan perundangan British mengenai pemerintahan sendiri Sabah dan Sarawak tidak memperuntukkan kemerdekaan sebelum koloni-koloni ini menyertai gagasan Malaysia.

Oleh itu, pengataan bahawa Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan daripada British sebelum penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 adalah suatu kesalahfahaman yang boleh merosakkan fakta sejarah negara. Dua koloni British ini, iaitu Sabah dan Sarawak hanya mencapai kemerdekaan di dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

1957 atau 1963?

Fakta sejarah mencatatkan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 apabila Negara Malaya bersekutu dengan koloni-koloni British iaitu Sabah, Singapura dan Sarawak. Walaubagaimanapun, persoalan mungkin timbul adakah Malaysia benar-benar sebuah negara yang baru atau sebuah negara kesinambungan Persekutuan Malaya.

Walaupun Malaysia dikatakan wujud pada 16 September 1963, keanggotaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah pada 17 September 1957 tidak lama setelah Malaya mencapai kemerdekaan. Penubuhan Malaysia tidak memindahkan ibu negara Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Singapura, walaupun Singapura lebih dikenali sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa dan sebuah kota yang lebih maju dari Kuala Lumpur pada ketika itu. Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman telah dilantik semula menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Yang DiPertuan Agong kekal menjadi ketua negara Malaysia.

Selain itu, matawang Ringgit, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan Persekutuan Malaya terus digunapakai tanpa perubahan dalam Persekutuan Malaysia. Lagi pula, Perlembagaan Persekutuan Malaya, yang diratifikasi pada 27 Ogos 1957 dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan beberapa pindaan bagi membolehkan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak mengambil tempat.

Oleh itu, apakah benar Malaysia sememangnya sebuah negara baru yang ditubuhkan pada 16 September 1963 atau hanya sekadar negara kesinambungan Persekutuan Malaya yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957?

Kesimpulan

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 59 tahun, rakyat Malaysia masih lagi terkeliru dengan sejarah kebangsaan mereka sendiri. Perdebatan berterusan di antara 1957 dan 1963 tidak akan membawa keharmonian kepada negara. Kesalahfahaman bahawa Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan di luar Malaysia adalah suatu fakta salah yang boleh merosakkan pembinaan negara Malaysia.

Benar sekali bahawa orang-orang Semenanjung perlu berterima kasih pada rakyat Sabah dan Sarawak yang telah banyak berkorban untuk mewujudkan Malaysia, sebuah negara yang lebih kuat, lebih besar dari yang sebelumnya, Malaya, tanpa mengenakan sebarang tuntutan atau syarat-syarat yang luar biasa. Sama juga, rakyat Sabah dan Sarawak perlu ingat bahawa tanpa Persekutuan Malaysia gagasan pemerintah Malaya, kedua-dua koloni British ini tidak akan dapat menggapai nikmatnya kemerdekaan, sekurang-kurangnya tidak pada tahun 1963.

Kita seharusnya berhenti melabelkan diri kita sebagai rakyat Malaya, Sarawak atau Sabah. Ini tidak penting kerana kita semua adalah rakyat Malaysia. Selagi rakyat Malaysia berdiri teguh untuk negara, Persekutuan ini akan terus kukuh dan maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang maju, produktif dan disegani.

Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

About Ahmad Karim

Check Also

Malaysia Bantah Baitulmaqdis Ibu Negara Israel Walaupun Najib Kawan Baik Trump

Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baharu menggantikan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *