Home / Politik / Pakatan Harapan / Mana kabinet bayangan pembangkang? Siapa calon Perdana Menteri?

Mana kabinet bayangan pembangkang? Siapa calon Perdana Menteri?

Gabungan pembangkang perlu mengumumkan kabinet bayangan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya umum diadakan awal, lapor The Straits Times Singapura memetik seorang pengkaji politik Malaysia berpusat di Singapura.

Norshahril Saat, felo Institut Yusof Ishak di Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS), juga berkata pemimpin veteran seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin DAP Lim Kit Siang boleh memberi panduan, tetapi perlu memberi laluan kepada golongan muda.

Norshahril berkata kabinet bayangan merupakan cabaran buat pakatan pembangkang di Malaysia, tetapi penting bagi menunjukkan ia serius mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN).

“Ia demi kepentingan pengundi supaya mereka tahu siapa akan dilantik perdana menteri sekiranya BN jatuh,” katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan parti baharu yang akan melibatkan parti dalam Pakatan Harapan dan sebuah parti baharu diketuai bekas pemimpin Umno.

Bagaimanapun, Norshahril mengingatkan perlunya sebarang gabungan politik baharu mengelak pemimpin sudah berusia mengemudi parti.

“Rakyat Malaysia mahukan pembaharuan kepimpinan politik dan bukan melihat ia didominasi orang lama,” katanya.

Tambah beliau, pembangkang juga perlu menjauhkan diri dari politik peribadi dan mengambil pengajaran daripada kegagalan dalam kempen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pembangkang hilang tokoh penyatuan seperti Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara. Seseorang seperti Dr Mahathir mungkin boleh membawa kebaikan kepada pembangkang terutama dalam menyatukan kembali mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Norshahril memberi amaran kepada pembangkang sekiranya Dr Mahathir dijadikan titik penyatuan. “Beliau seorang tokoh yang boleh menyatu padu dan juga memecah belah.”

About tok anjang

Check Also

Rafizi Kini Pengerusi PH Dan Presiden PKR

Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *