Home / Politik / Pakatan Harapan / Muhyiddin akan jadi ketua dalam satukan semua pembangkang?

Muhyiddin akan jadi ketua dalam satukan semua pembangkang?

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai usaha mencari kesepakatan antara semua parti pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain.

“Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

Khamis lalu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan sebuah parti politik baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak semestinya mengetuai parti baharu itu yang akan membentuk pakatan pembangkang lebih besar untuk menawan Putrajaya pada PRU14.

Muhyiddin yang dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti akhir bulan lalu menjelaskan, andaian BN akan terus berkuasa dan parti-parti pembangkang terus berpecah tidak semestinya betul.

Sehubungan itu tegasnya, parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi PRU14 bagi meraih keyakinan rakyat yang parti politik selain BN mampu mentadbir Malaysia dengan lebih baik dan membela nasib rakyat.

“Saya yakin Malaysia sudah bersedia untuk menyongsong arus perubahan dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan bersatu hati untuk membela nasib rakyat, menentang rasuah, salah guna kuasa dan manipulasi sentimen perkauman yang melampau demi mencipta masa depan lebih baik untuk semua.

“InsyaAllah, berkat muafakat rakyat dan jiwa besar pemimpin yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat dan kepentingan negara, kita akan berjaya mengetepikan perbezaan, mewujudkan kesepakatan dan mencapai kemenangan,” katanya.

About tok anjang

Check Also

Rafizi Kini Pengerusi PH Dan Presiden PKR

Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *