Home / Ekonomi / 19 fakta konflik Laut China Selatan yang perlu anda tahu

19 fakta konflik Laut China Selatan yang perlu anda tahu

1. China pada asalnya menuntut Garisan 11 Sempadan (Eleven dash line) di sebahagian besar Laut China Selatan, TETAPI menerusi rundingan dua hala dengan Vietnam, dua garisan digugurkan maka tinggal sembilan.

Ertinya? China boleh berkompromi jika kena caranya.

2. China pernah ada rekod berkompromi dengan lebih 50% wilayah Teluk Tonkin/Beibu di Laut China Selatan diserahkan kepada Vietnam tanpa tekanan antarabangsa pada tahun 2004 di mana China menerima hak sebanyak 46.77% daripada Teluk terbabit manakala Vietnam pula 53.23%. China juga mempunyai rekod baik berkompromi dengan Rusia di Vladivostok dan Pulau Bolshoy Ussurisky.

3. Pendirian Malaysia sejak awal sepertimana dalam sidang Dewan Rakyat Jun 2015, mantan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainuddin ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) menegaskan bahawa sembilan garis sempadan yang didakwa oleh Beijing adalah bercanggah dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Namum, Malaysia tidak memainkan sentimen emosional sempit demi meraih sokongan politik dalam mahu pun luar negara.

4. Malaysia turut hadir dalam prosiding Tribunal PCA di The Hague, Belanda bersama-sama Vietnam sebagai pemerhati turut memiliki kes pertikaian yang serupa dengan Beijing. Malaysia TIDAK sama sekali terkebelakang kerana perlu diketahui Malaysia dan Vietnam pada 2009 telah lebih AWAL menghantar tuntutan Pelantar Benua kepada ITLOS.

5. Jika Filipina berhadapan tuntutan Garisan keenam, ketujuh, kelapan, dan kesembilan oleh China, Malaysia pula berhadapan dengan tuntutan Garisan keempat dan kelima sebagaimana yang boleh diperhatikan dalam peta yang dikeluarkan oleh Beijing pada 2009.

6. Peta China 2009 jelas menceroboh EEZ Malaysia di mana Garis Keempat menceroboh perairan Bintulu dan Miri di Sarawak manakala Garis Kelima menerobos jauh dari perairan berhampiran Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kudat, Sabah.

7. Sejak 2013 lagi China dikesan menggunakan modus operandi berkembar, iaitu kapal nelayan yang diiringi kapal Pengawal Pantai dan juga kapal tentera laut dalam menceroboh perairan Sarawak milik Malaysia. Kehadiran Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar masih strategik dalam erti kata membendung potensi pencerobohan serupa.

8. Malaysia berpotensi besar untuk menang seandainya turut mengajukan penubuhan tribunal seperti Filipina, namun hakikat kuasa China perlu diakui, realiti sebagai kuasa besar tidak akan memungkinkan langkah konfrontasi berhasil. Maka langkah diplomasi konstruktif secara berterusan perlu diambil dalam menjamin kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.

9. Perlu difahami, sebagai sebuah kuasa besar yang sedang bangkit, China melihat perlu untuknya melindungi Laut China Selatan daripada potensi kepungan AS. China sememangnya sangat bergantung pada Laut China Selatan demi keberlangsungan bekalan tenaga dan perdagangan mereka dari Lautan Hindi dan Selat Melaka (disebut menerusi istilah Dilema Melaka oleh Presiden China sendiri pada 2013).

Apatah lagi status China sebagai pengimport minyak dan pengalaman langkah sekatan serupa yang pernah dilakukan AS terhadap negara seperti Cuba dan Iran. Kekuatan ketenteraan dimanipulasi sebagai isyarat ketidakakurannya kepada negara kecil, menjadikan pilihan dialog dan rundingan dua hala lebih baik bagi mereka, sementara menjadi isyarat konfrontasi terhadap negara Kuasa Besar seperti AS.

Dari segi dalaman pula, Parti Komunis China perlu membuktikan keupayaannya di mata rakyat China dari asakan ideologi dan material Barat.

10. Langkah operasi ketenteraan bersama sedia ada Malaysia-China sejak 2014 boleh dipesatkan dalam mendepani sebarang dilema keselamatan Beijing, tanpa perlu kuasa besar terbabit menceroboh perairan Malaysia secara unilateral.

11. Lihat sahaja reaksi diplomatik China yang cukup tegas. Presiden Xi Jinping dan Menteri Luar Wang Yi tidak menerima, apatah lagi mengiktiraf penghakiman PCA di The Hague, Belanda terbabit.
Adakah logik bagi negara-negara kecil memaksa kuasa besar yang sedang bangkit untuk tunduk kepada aturan undang-undang yang tidak diiktirafnya?

Akan berhasil positifkah langkah desakan sedemikian?

12. Reaksi ketenteraan China lebih tangkas. Dalam hari yang sama dengan penghakiman, China mula mengoperasikan kapal pemusnah berpeluru berpandu keempatnya, 052D Yinchuan, di Pulau Hainan.
Kementerian Pertahanan China turut menegaskan bahawa kedaulatan China sama sekali tidak tergugat dan akan meneruskan rutin ketenteraan di perairannya.

13. Rangkaian penyiaran pusat CCTV milik China turut menayangkan berita-berita seperti kekuatan tentera laut Rakyat China yang turut menyertai latihan ketenteraan bersama RIMPAC 2016 di Pearl Harbor, Amerika Syarikat (AS) di samping turut menyiarkan berita pengujian lapangan terbang di Pulau Zhibu dan Meiji, dua pulau di Laut China Selatan.

14. Akan tetapi, China tidak menunjukkan reaksi negatif seperti menghalakan peluru berpandu kepada Filipina, sebaliknya menunjukkan kesediaan untuk rundingan bilateral bagi usaha penerokaan bersama di kawasan pertelingkahan.

15. Reaksi Manila juga sebaliknya agak bertentangan dengan jangkaan banyak pihak. Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Perfecto Yasay, dalam satu kenyataan media ringkas menggesa semua pihak untuk mengawal diri dan tidak terbawa-bawa dengan keputusan PCA.

16. Tiada sebarang ucapan yang bernada “sentimen kemenangan” dikeluarkan Manila. Sikap Filipina ini boleh difahami akibat perubahan kepimpinan presiden Filipina.

Berbeza dengan pentadbiran sebelum beliau, Duterte adalah lebih lunak terhadap China. Malah Duterte sering menyatakan kesediaan untuk meneruskan dialog dan rundingan bilateral dengan China, meskipun terdapat pemimpin Filipina dan AS yang memberi amaran kepada Duterte agar tidak mengadakan dialog sedemikian.

17. Wajib diketahui, China bimbang dengan sebarang kemungkinan Amerika menutup laluan penting perdagangannya di Laut China Selatan. Tetapi sebarang usaha menuduh China sebagai pembuli yang tamak tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah apatah lagi memberi faedah.

Dialog konstruktif perlu diteruskan oleh Malaysia agar China memahami bahawa ianya adalah lebih bermanfaat untuk China melindungi kepentingan mereka di Laut China Selatan menerusi kerjasama ketenteraan bilateral dengan negara-negara Asia Tenggara, dan bukannya dengan cara cuba membolot Laut China Selatan.

18. Maka langkah Malaysia kini adalah tepat – tidak membenarkan Amerika menempatkan sebarang kemudahan atau pesawat pengintip di Sabah atau mana-mana wilayah negara, tapi tetap meneruskan kerjasama pembangunan kapasiti ketenteraan negara dengan AS.

Dalam masa yang sama, kerjasama ketenteraan komprehensif dengan China diwujudkan sejak 2014 di samping pelbagai langkah pembinaan keyakinan dan kepercayaan dua pihak.

19. Jangan sekali-kali lupa, Malaysia sebagai negara strategik perlu teruskan peranan sebagai pelopor penstabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara – seperti mana Zopfan di Kuala Lumpur pada 1971.

Pada 2015 sahaja permintaan China kepada eksport Malaysia bernilai RM23.09 bilion manakala permintaan eksport Malaysia dari Amerika Syarikat pula ialah RM12.22 bilion.

Bukan bererti kita bermain selamat (play safe) antara AS-China, tetapi bermain untuk selamat (play for safety) dari kedua-dua AS-China!

Penulis ialah pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

About tok anjang

Check Also

Malaysia Sudah Perjelaskan Kepada USA Isu Tipu Perdagangan Bernilai Bilion USD

Putrajaya hari ini menafikan tuduhan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa Malaysia antara negara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *