Home / Politik / Pakatan Harapan / Demi Lim Guan Eng : DUN Pulau Pinang bakal bubar?

Demi Lim Guan Eng : DUN Pulau Pinang bakal bubar?

DUN Pulau Pinang kemungkinan dibubarkan lebih awal susulan isu Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang didakwa di mahkamah bersabit dua kes rasuah, bulan lalu.

Bagaimana pun, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, DAP Pusat belum bincang tentang perkara itu.

“Ia hanyalah satu kemungkinan dan kalau kami sudah putuskan atau ada niat untuk buat keputusan, barulah kami bawa agenda kepada rakan Pakatan Harapan. Bagaimana nak ada keputusan kalau tidak ada perbincangan.

“Hak untuk bubar kerajaan negeri terletak di tangan ketua menteri dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy pula berkata, perkara ini hanya dalam peringkat awal perbincangan dan belum diputuskan dalam mesyuarat DAP negeri.

Ketika ditemu bual oleh Sin Chew Jit Poh, Ramasamy, yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang memberitahu, selepas Guan Eng didakwa di mahkamah, ada yang menyatakan tuduhan itu bermotifkan politik.

“Oleh itu, DAP Pulau Pinang melalui satu perbincangan yang tidak rasmi, membangkitkan kemungkinan membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal. Biarlah rakyat yang menentukan apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Guan Eng sama ada ia bermotifkan politik atau tidak,” kata Ramasamy.

Seorang penganalisis politik yang juga Fellow Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat membayangkan Pakatan Harapan kemungkinan besar akan mendapatkan mandat baru jika pilihan raya negeri diadakan.

Menurut beliau, Pakatan Harapan memerlukan mandat besar untuk menang pilihan raya ini setelah berlakunya pendakwaan Guan Eng di mahkamah.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata, soal pembubaran Dun Pulau Pinang masih terlalu awal untuk diputuskan.

“DAP negeri masih belum ada keputusan untuk dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa pusat parti. Dan buat masa ini, kami pun belum mengambil keputusan untuk berbincang dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan,” kata Kon Yeow.

Sementara itu, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mempertikaikan tindakan DAP negeri untuk membubarkan Dun kerana ia merupakan pembaziran wang rakyat.

“(Isu) Guan Eng yang didakwa atas kesalahan rasuah adalah hal peribadi beliau dan ia tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Pulau Pinang.

“DAP tidak patut mengadakan pilihan raya negeri lebih awal. Kenapa perlu menghabiskan jutaan ringgit mengadakan pilihan raya negeri semata-mata untuk mengukur maklum balas rakyat terhadap parti itu.

“Guan Eng sepatutnya ambil cuti dan berhenti memegang jawatan ketua menteri. Mahkamah telah bersedia memberikan peluang kepada Guan Eng untuk membersihkan namanya. Kenapa beliau dan Kerajaan Pulau Pinang mahu mengheret rakyat ke dalam kes rasuah ini?” kata Zainal Abidin.

Zainal Abidin turut mempersoalkan apakah Guan Eng telah hilang keyakinan majoriti Adun Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan merasakan keperluan untuk membubarkan Dun.

Dalam PRU lalu, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan Pas, berjaya mempertahankan tampuk pemerintahan Kerajaan Pulau Pinang setelah memperoleh 30 kerusi (DAP-19, PKR-10 dan Pas-1) berbanding BN yang meraih 10 kerusi.

Pada 29 Jun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Georgetown, Datuk Azmi Ariffin membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta. Pengurusan kes ditetapkan pada 22 September ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan beliau bersama dengan seorang lagi tertuduh, iaitu ahli perniagaan Phang Li Khoon.

About tok anjang

Check Also

Rafizi Kini Pengerusi PH Dan Presiden PKR

Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *