Home / Politik / Tram paling sesuai di Pulau Pinang, bukan terowong bawah laut

Tram paling sesuai di Pulau Pinang, bukan terowong bawah laut

Sistem pengangkutan tram dilihat paling sesuai untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di negeri ini terutama di George Town, menurut ahli akademik.

Bekas pensyarah Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia Professor Madya Dr Hassim Mat berpendapat kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menumpukan kepada sistem pengangkutan yang berkesan dalam mengatasi masalah itu bagi memudahkan pemantauan.

Katanya tram dilihat paling sesuai untuk bandar yang mempunyai banyak bangunan warisan seperti George Town dan ia juga boleh mengurangkan pencemaran bunyi serta tidak merosakkan bandar raya warisan dengan pemandangan pengangkutan moden.

“Tram boleh dibina tanpa sebarang proses mengambil alih tanah kerana landasan tram boleh dibina di atas jalan raya dan boleh dikongsi bersama kenderaan lain,” katanya kepada Bernama di sini.

Tram ialah kenderaan aliran ringan yang dipandu mengikut rel dan kabel. Rel dibina di atas jalan raya dan ia dikawal secara elektronik.

Hassim yang sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa projek perancangan pengangkutan berkata tram jenis baharu yang menggunakan enjin hibrid dilihat paling sesuai, sambil memberi contoh pembinaan tram jenis itu di Turki iaitu dari bandar Istanbul ke Lapangan Terbang.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini mengemukakan cadangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bertujuan mengurangkan masalah trafik di bahagian pulau dengan pembinaan pelbagai infrastruktur pengangkutan yang menggabungkan air, udara, kereta api dan jalan raya.

Projek berstatus mega menggabungkan beberapa projek termasuk tiga lebuh raya, LRT, monorel, tram, kereta kabel dan terowong dasar laut itu dijangka menelan kos mencecah RM27 bilion.

Projek itu turut melibatkan cadangan penambakan laut untuk dijadikan tiga pulau sebagai bayaran kepada projek mega ini.

Hassim berkata secara dasarnya PIP adalah satu sistem yang baik dan lengkap tetapi persoalannya mampukah kerajaan negeri mengendali dan menguruskan sistem pengangkutan yang terdiri daripada pelbagai jenis itu dengan teratur.

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia S.M. Mohamed Idris berkata beliau lebih bimbang tentang proses pembayaran projek mega PIP yang bernilai RM27 bilion.

Beliau berkata menggunakan tambakan laut untuk membina tiga pulau sebagai bayaran kepada PIP adalah tidak betul kerana ia akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan laut dan nelayan.

“SAM menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menimbang semula cadangan kerja-kerja penambakan dan mengkaji semula teras pembangunan di negeri ini untuk mengelak kemusnahan terhadap alam sekitar yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan anggaran tempoh pelaksanaan fasa pertama ialah lapan tahun dan kerajaan negeri kini menjalankan kajian DEIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) bagi pelaksanaan LRT dan penambakan laut kawasan selatan Pulau Pinang.

About tok anjang

Check Also

Rafizi Kini Pengerusi PH Dan Presiden PKR

Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *