Home / Politik / Barisan Nasional / ‘Saya beritahu Najib: Kalau pindahkan saya, saya bersara’
Finance Minister II Dato Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

‘Saya beritahu Najib: Kalau pindahkan saya, saya bersara’

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menegaskan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua kerana tidak mahu ditukarkan ke kementerian lain.

“Saya beritahu diri saya, satu hari (nanti) saya akan bersara tetapi saya tidak tahu bila. Namun saya putuskan persaraan saya hanya di Kementerian Kewangan.

“Sebab itu saya bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), saya beritahu beliau saya akan bersara dengan Kementerian Kewangan, jika anda mahu tukar saya, saya tidak mahu. Jadi, gugurkan saya,” katanya di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Sungai Rokam hari ini.

Ahmad Husni berkata, beliau tidak mempunyai masalah langsung dengan Perdana Menteri, Kabinet mahupun parti.

Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun lalu sebelum Najib mengumumkan rombakan Kabinet yang disusuli dengan peletakan semua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri serta bahagian dan beliau hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Ahmad Husni berkata, beliau pada mulanya mahu bersara daripada politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan mahu menjadikan Kementerian Kewangan sebagai destinasi terakhirnya dalam kerajaan.

“Tetapi, Perdana Menteri ada idea sendiri dan tukarkan saya ke kementerian lain.

“Kenapa saya mahu jawatan terakhir dalam kementerian itu, ini kerana di bawah MOF (Kementerian Kewangan) saya dapat membantu banyak pihak yang memerlukan.

“Saya percaya di Kementerian Kewangan, saya boleh menyatupadukan orang ramai kerana saya percaya dalam kepelbagaian budaya,” katanya.

Ahmad Husni turut menegaskan peletakan jawatan beliau dalam Kabinet dan Umno tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak… 1MDB tiada kaitan dengan peletakan jawatan saya sebab saya nak bersara sudah lama. Inilah masalahnya apabila bersara, ramailah yang kata ini tentu ada masalah.

“1MDB tidak ada kaitan langsung dengan peletakan jawatan saya kerana saya mahu bersara,” katanya sambil menambah 1MDB adalah satu perniagaan besar dan “kita tidak boleh kata perniagaan itu sempurna sepenuhnya”.

“Dalam perniagaan, ada dua perkara penting iaitu risiko perniagaan dan risiko kewangan. Ini bermakna sesiapa yang mengambil alih 1MDB, maka perlu lihat kedua-dua aspek ini. Jika mereka boleh, sudah pasti tiada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni turut menafikan akan menyertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun parti pembangkang.

“Tidak.. saya tidak akan menyertai (Dr) Mahathir atau mana-mana parti pembangkang sebab saya percaya dalam politik ada titik pengakhirannya,” katanya.

Ahmad Husni berkata, beliau ingin memberi perkhidmatan terbaik sebagai Ahli Parlimen Tambun dengan membantu pengundi yang menyokong beliau selama ini.

“Sekarang ini, apa yang saya ingin lakukan merupakan perkara terakhir iaitu sebagai Anggota Parlimen,” katanya sambil menambah kawasannya mempunyai 99,000 pengundi dan kira-kira 300,000 penduduk.

“Mereka menyokong saya. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh berkhidmat sebagai Anggota Parlimen setakat kemampuan saya.

“Biarlah saya duduk tenang sebab apabila saya tidak lagi dalam politik, ia sangat indah, minda saya tiada lagi gangguan, sebab dalam politik banyak gangguan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga percaya dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kewangan Kedua.

“Saya akan nasihatkan beliau berusaha sebaik mungkin mengikut kemampuannya dan keduanya adalah integriti.

“Anda tahu, ada sesetengah orang suka mengambil peluang. Kadang-kadang, mereka akan lihat kepada Kementerian Kewangan. Jadi, sila gunakan dan amalkan integriti sepenuhnya,” katanya.

About tok anjang

Check Also

Sembang Kencang Pasal Demokrasi Tapi Parti DAP Sendiri Tak Berani Nak Amalkan

Baru-baru ini tiga anggota DAP menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendesak parti DAP …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *