Home / Politik / Barisan Nasional / Umno kena guna peluang daripada perpecahan pembangkang

Umno kena guna peluang daripada perpecahan pembangkang

Umno perlu menggunakan peluang yang ada ketika parti-parti pembangkang berpecah untuk meningkatkan populariti parti itu sekaligus menarik lebih ramai penyokong, menurut seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata Umno perlu mengetengahkan barisan pemimpin muda, selain memantapkan jentera akar umbi di setiap cawangan termasuk memberi perhatian khusus dalam menambat hati tokoh-tokoh tempatan yang berpengaruh.

“Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan hanya utamakan aspek kepimpinan elit semata-mata sebaliknya perlu mendampingi golongan muda serta tokoh-tokoh di setiap kawasan di seluruh negara bagi memastikan kemenangan parti pada PRU14 akan datang.

“Dengan perpecahan yang dialami pembangkang ketika ini, BN perlu mengambil peluang untuk memastikan kemenangan mereka dan terus memerintah negara,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dikatakan bakal menubuhkan parti baharu selepas dipecat daripada Umno, Md Shukri berkata parti baharu tidak akan menjadi saingan kepada Umno mahupun BN.

“Walaupun mereka mencipta parti baharu sebagai wadah perjuangan, parti teras khususnya BN, selain PAS dan DAP adalah parti politik yang menjadi pilihan rakyat. Ini kerana mana-mana parti baharu tidak akan mampu mendapat sokongan popular yang berterusan,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti membincangkan laporan daripada jawatankuasa disiplin.

Md Shukri berkata bagaimanapun Umno dan BN perlu bekerja lebih kuat dalam memastikan mereka mendapatkan sokongan berterusan daripada rakyat.

Beliau berkata anggota parti perlu sentiasa bersatu bagi menarik sokongan ramai selain tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pemimpin semata-mata.

Menyentuh mengenai rombakan kecil kabinet yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, beliau berpendapat ia merupakan inisiatif bagi mengisi kekosongan jawatan dan peranan bagi melancarkan kerja pentadbiran kerajaan.

“Ini penting kerana kabinet adalah jentera penggerak kepada sektor awam dalam memberi khidmat kepada rakyat serta membolehkan kerajaan melaksanakan dasar sedia ada,” katanya

About tok anjang

Check Also

Sembang Kencang Pasal Demokrasi Tapi Parti DAP Sendiri Tak Berani Nak Amalkan

Baru-baru ini tiga anggota DAP menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendesak parti DAP …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *