Home / Santai / Jawatankuasa Fatwa Terengganu: Vaksin halal, perlu diambil

Jawatankuasa Fatwa Terengganu: Vaksin halal, perlu diambil

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memutuskan bahawa umat Islam di negeri itu perlu mengambil suntikan vaksin kerana ia suatu proses pencegahan terhadap penyakit yang boleh membawa kemudaratan pada masa depan.

Ketetapan itu dibuat semasa Jawatankuasa Fatwa Negeri bermesyuarat pada 29 Jun lalu yang dipengerusikan Mufti negeri Datuk Dr Zulkifly Muda dan memutuskan bahawa bahan vaksin yang ada dalam suntikan imunisasi kanak-kanak adalah halal.

“Ini berdasarkan keterangan pakar-pakar kesihatan yang dijemput khas untuk memberi penjelasan mengenainya,” kata Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh itu, masyarakat Islam di Terengganu digesa supaya tidak menolak suntikan vaksin dan tidak perlu risau terhadap kandungan bahan dalam vaksin berkenaan, kata jawatankuasa itu.

Suntikan itu juga sebagai satu benteng kesihatan masyarakat umumnya kerana difahamkan sekiranya sebahagian orang sahaja mengambilnya sedangkan yang lain tidak, kemungkinan keberkesanan suntikan vaksin yang telah akan berkurangan.

Jawatankuasa itu juga berpendapat sekiranya kanak-kanak tidak diberi suntikan imunisasi itu, sehingga pasti membawa kepada kemudaratan pada nyawa dan fizikal, maka mengambilnya pada ketika itu menjadi wajib.

“Jawatankuasa juga ingin menyarankan kepada masyarakat Islam di Negeri Terengganu supaya tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah yang mengatakan bahawa suntikan itu sebagai satu agenda Yahudi untuk melemahkan orang-orang Islam.

“Ini kerana tiada bukti tentang perkara itu, bahkan difahamkan bahawa masyarakat Yahudi pun juga mengambil suntikan itu,” kata jawatankuasa berkenaaan.

Masyarakat Islam di Terengganu juga diingatkan bahawa kesan sampingan hasil suntikan itu amatlah minimum dan bersifat sementara serta ia tidak menjalar kepada kerosakan fizikal dan mental manusia.

About tok anjang

Check Also

Lepasan Ijazah Negara Sama Seperti Pelajar Denmark Tak Habis Sekolah? Ini Jawapan Pensyarah Malaysia

Profesor Universiti Harvard, Amerika Syarikat Lant Pritchett mendakwa graduan ijazah di Malaysia tidak mempunyai kualiti …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *