Home / Politik / Pakatan Harapan / Mainan politik UMNO dan BN jadi alasan Lim Guan Eng terus kekal berkuasa

Mainan politik UMNO dan BN jadi alasan Lim Guan Eng terus kekal berkuasa

Hebat sungguh pe­mimpin-pemimpin DAP berhujah dan mempertahankan kewajaran Lim Guan Eng untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun berhadapan dua pertuduhan berkaitan rasuah di mahkamah.

Malah apa yang melucukan sama ada Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang atau pemimpin pembangkang mengaitkan dakwaan ke atas Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan tersebut sebagai mainan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Aneh sekali yang terlibat dalam jual beli rumah tersebut ialah antara Guan Eng dan Phang Li Koon, kenapa pula tiba-tiba UMNO dan BN dikaitkan. Agensi yang menjalan siasatan dan mengemukakan cadangan supaya kedua-dua mereka didakwa ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukannya Majlis Tertinggi UMNO atau BN?

Bukankah satu ketika dahulu ketika isu 1MDB dan derma RM2.6 bi–lion heboh diperkatakan dan sedang disiasat oleh SPRM, berbondong-bondong pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengunjungi SPRM di Putrajaya bagi menyatakan sokongan dan meminta agensi itu melaksanakan tanggungjawabnya tanpa rasa takut serta gentar kepada sesiapa?

Sepatutnya pemimpin-pe­mimpin DAP tidak perlu risau apa-apa, kalau benar Guan Eng tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, sebaliknya bersyukur kerana inilah peluang Guan Eng untuk membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan.

UMNO dan BN tiada kaitan dengan apa yang berlaku. Tanggungjawab pemimpin BN ialah mendedahkan dan meminta SPRM menjalankan siasatan. Tambahan pula pendedahan tu dilakukan di dalam sidang Dewan Rakyat bukannya di mana-mana forum atau pentas ceramah seperti mana sering kali dilakukan oleh pemimpin pembangkang ke atas pemimpin BN.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya hanya meminta SPRM menyiasat apakah jual beli yang dilaksanakan antara Guan Eng dan Li Koon melanggar undang-undang atau tidak? Apabila disusuli dengan laporan kepada SPRM oleh beberapa pihak maka menjadi tanggungjawab agensi tersebut menjalankan siasatan.

Ini adalah prosedur biasa. Sepatutnya pemimpin-pemimpin pembangkang berterima kasih kerana pendedahan tersebut akan membolehkan siasatan rapi dijalankan dan membuka peluang seluas-luasnya kepada Guan Eng membela diri di mahkamah.
Justeru jangan melatah terlalu cepat apatah lagi membiarkan fikiran dikuasai oleh pemikiran politik jumud apabila mengaitkan tuduh­an ke atas Guan Eng bermotifkan politik. Selesaikan segala-galanya di mahkamah. Hentikanlah sikap me–nuding jaring kepada pihak lain apabila sesuatu berlaku kepada pemimpin-pemimpin pembangkang.

Turut dipersoalkan ialah sikap ‘double standard’ pembangkang apabila berhadapan dengan kes-kes seumpama ini.

Percayalah kalau tuduhan atau dakwaan berkenaan melibatkan pemimpin-pemimpin BN maka pembangkang akan riuh sekampung dan sanggup mengeli­ling negara bagi mendesak supaya pemimpin terlibat bercuti atau meletakkan jawatan.

Walaupun ada sesetengah isu masih lagi di peringkat siasatan atau sekadar tohmahan, tetapi awal-awal lagi pemimpin pembangkang akan terpekik terlolong meminta pemimpin BN terlibat dikenakan tindakan.

Malah apabila siasatan tidak menyebelahi apa yang mereka hasratkan atau tidak bertepatan de­ngan kehendak politik mereka, maka agensi-agensi terlibat pula dianggap tunduk kepada tekanan kerajaan.

Tetapi apabila melibatkan pe­mimpin mereka, kelompok yang kononnya mahu memperjuangkan integriti dan menegakkan keadilan tersebut bagaikan ‘kura-kura yang menyembunyikan kepala dalam cengkerangnya’ – senyap sunyi.

Sepatutnya kalau benar mereka tidak bermain politik dan sentiasa mahu memperjuangkan ketelusan serta integriti, mereka juga patut mendesak atau meminta Guan Eng bercuti sementara sehingga perbi–caraan selesai.

Bercuti bukanlah bermaksud bersalah, tetapi bagi membolehkan beliau menumpukan perhatian kepada kesnya dan dalam masa yang sama bagi mengelakkan sebarang tafsiran negatif terhadap Pulau Pinang yang dijulang oleh pemimpin-pemimpin DAP sebagai memiliki ‘imej negeri paling bersih dalam tadbir urus’.

Dalam masa sama penulis juga tertanya-tanya di manakah pemimpin-pemimpin PKR yang sebelum ini begitu rancak mendedahkan satu demi satu apa yang didakwa sebagai penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin BN.

Biarpun sesetengah tuduhan itu tidak berasas, tetapi mereka tetap menguar-uarkannya sehingga menjejaskan kredibiliti pemimpin ber­kenaan. Ketika itu mereka menganggap apa yang dilakukan bukanlah bermotif politik sebaliknya demi kepentingan rakyat.

Kalau itulah pegangannya mereka juga boleh secara hormat me­minta Guan Eng berehat seketika bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang mengamalkan sikap ‘bukan sahaja bersih, tetapi perlu nampak bersih’.

Penulis yakin pemimpin-pe­mimpin PKR dan PAN selaku sekutu rapat DAP tidak akan berani membuat desakan tersebut. Ini memandangkan nyawa politik mereka terletak di tangan DAP. Apa yang bakal kita saksikan mereka akan mempertahankan Guan Eng habis-habisan dan senada mengatakan bahawa tuduhan tersebut bermotifkan politik yang didalangi oleh BN.

Pemimpin-pemimpin pembangkang boleh sahaja mengamalkan double standard atau bersandiwara apabila berhadapan situasi seumpama ini, tetapi mereka tidak akan mampu memperbodohkan rakyat. Tindakan mereka menampakkan sebenarnya pembangkang hanya bijak mencari kesalahan dan kelemahan pemimpin BN serta meng­anggap seolah-olah merekalah ‘kelompok paling suci’ di muka bumi Allah.

Namun hakikatnya, sikap mereka menyebabkan rakyat akan melihat pemimpin-pemimpin pembangkang tidak ubah ibarat ayam jantan yang berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis, kata kain orang lain koyak, kain sendiri sudah terlondeh.

Zul Bakar, UTUSAN

About tok anjang

Check Also

Rafizi Kini Pengerusi PH Dan Presiden PKR

Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *