Home / Ekonomi / Laluan baharu LRT: Pengguna lega dapat elak kesesakan jalan

Laluan baharu LRT: Pengguna lega dapat elak kesesakan jalan

Warga Lembah Klang boleh menarik nafas lega apabila projek penyambungan jajaran sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling mula beroperasi secara rasminya semalam.

Kebanyakan pengguna ketika ditemui menyambut baik dan teruja dengan kemudahan itu yang menambah laluan LRT sekali gus tidak lagi dihantui dengan kesesakan yang menggila setiap kali waktu puncak.

Subramaniam, 45, berkata penambahan laluan LRT itu memudahkan perjalanan dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Saya rasa seronok bila ada penambahan laluan dan tidak lagi rasa terseksa berdepan kesesakan bila menjelang waktu puncak terutama di USJ, Subang dan Puchong.
“Malah lebih menyeronokkan apabila waktu menunggu tren hanya 1 hingga 2 minit saja,” katanya.

Kristin, 22, berkata dengan adanya laluan baharu ini, perjalanannya ke tempat kerja akan lebih singkat dan beliau tidak perlu memandu kereta lagi setiap hari, malah tambang yang dikenakan juga berpatutan.

“Tempoh perjalanan jadi singkat dan saya tidak lagi perlu memandu kereta ke tempat kerja. Ini dapat menjimatkan kos perjalanan kerana saya tidak perlu mengisi minyak, membayar tol dan menghadap kesesakan jalan.

“Saya dapat jimat RM20 sehari dengan menggunakan pengangkutan awam kini,” katanya.

Nur Hafzan, 24, berkata perkhidmatan itu dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi terutama daripada segi aktiviti pelancongan di samping pembangunan hartanah.
Bagaimanapun, Ismail Arjunaidy, 20, berkata beliau kurang berpuas hati dengan kadar tambang yang dikenakan bagi perkhidmatan tersebut.

“Memang menambahkan jarak perjalanan sesuatu yang bagus, tetapi kalau boleh harga yang dikenakan untuk perkhidmatan LRT biarlah rendah dan tidak membebankan kerana keadaan ekonomi negara sekarang lemah ditambah pula peluang pekerjaan terhad,” katanya.

Fatihah Razali, 25, berkata beliau sanggup membayar tambang LRT dengan harga yang sedikit mahal berbanding berdepan kesesakan lalu lintas.

“Saya lebih rela harga tambang LRT mahal berbanding kena menghadap kesesakan lalu lintas,” katanya.

Terletak di Persiaran Putra Indah berhampiran Pusat Komersil Putra Point, terminal ini menemukan laluan LRT Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang/Sri Petaling melalui laluan tambahan baharu sepanjang 35.1km.

Perkhidmatan itu membabitkan pembukaan 23 stesen baharu di sepanjang laluan dan ia dijangka menyumbang tambahan 300,000 penumpang sehari, dan memanfaatkan dua juta penduduk Lembah Klang.

About tok anjang

Check Also

Malaysia Sudah Perjelaskan Kepada USA Isu Tipu Perdagangan Bernilai Bilion USD

Putrajaya hari ini menafikan tuduhan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa Malaysia antara negara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *