Home / Politik / Barisan Nasional / UMNO Semporna masih utuh dan berfungsi

UMNO Semporna masih utuh dan berfungsi

Majlis berbuka puasa yang diadakan di kediaman Ketua Umno Bahagian Semporna semalam sebenarnya adalah rancangan untuk mengumumkan keluar parti.

“Ramai di antara mereka tidak mengetahui tentang rancangan membuat pengumuman keluar Umno itu,” dakwa Adun Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban.

Beliau turut menafikan dakwaan Naib Ketua Umno Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong kononnya 300 cawangan Umno Bahagian Semporna bertindak keluar parti selepas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaannya minggu lalu.

Beliau mendakwa hanya kira-kira 50 daripada 503 ketua cawangan Umno menghadiri majlis itu tanpa kehadiran Shafie yang sedang menunaikan umrah.

Tambahan, hanya 18 daripada 28 Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Semporna menghadiri majlis itu.

“Daripada jumlah itu, hanya lima atau enam adalah AJK yang memenangi jawatan dalam pemilihan parti manakala selebihnya dilantik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno Bahagian Semporna masih utuh dan berfungsi seperti biasa walaupun beberapa ahli jawatankuasanya bertindak keluar parti semalam.

Ramlee berkata, Umno Bahagian Semporna akan terus wujud kerana ramai pemimpin berkelayakan mampu menggalas tanggungjawab parti itu.

“Umno Semporna akan berfungsi seperti biasa kerana selain mempunyai Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Nasir Sakaran, naib-naib ketua Pemuda dan Wanita bahagian masih bersama Umno Semporna,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Jaujan berkata, selain dirinya, Ketua Pemuda Semporna, Mohd Aziz Jamman; Ketua Wanita, Manis Muka Dara dan Ketua Puteri, Zakiah Kalipunya serta 300 ketua cawangan bahagian itu memutuskan keluar parti.

Keputusan itu dibuat selepas mereka menghadiri mesyuarat AJK bahagian itu yang dipengerusikan Jaujan yang juga Adun Sulabayan.

Bagaimanapun, Zakiah hari ini menafikan keluar daripada Umno, sebaliknya beliau akan terus setia bersama Umno dan masih Ketua Puteri bahagian itu.

– BERNAMA

About tok anjang

Check Also

Mahathir Sumbat Anwar, Kit Siang Dalam ISA, Tetapi Tuduh Najib Diktator

Hipokrasi pembangkang ditunjukkan sekali lagi diatas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *