Home / Politik / Pakatan Harapan / PAS Kedah tolak dakwaan Muhkriz, nafi perjanjian dengan Umno

PAS Kedah tolak dakwaan Muhkriz, nafi perjanjian dengan Umno

PAS Kedah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir wujudnya perjanjian antara Umno dan parti Islam itu membabitkan ‘pertukaran’ Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata PAS Kedah tidak pernah menghulur salam, menyambut usaha atau mengadakan perjanjian dengan Umno seperti dimaksudkan Mukhriz sehingga seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang.

“Sangkaan Adun Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesyaki wujud perjanjian antara Umno-PAS untuk membahagi negeri pemerintahan ialah tuduhan sangat dangkal dan ternyata berunsur fitnah.

“Selaku ahli politik, dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya daripada seorang yang pernah menjawat kedudukan menteri besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mukhriz mengesyaki perjanjian Umno-PAS membabitkan ‘pertukaran’ yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Mesti ada perjanjian. Mereka cuba membawa PAS dan Umno bersama-sama. Perlu ada tukaran untuk PAS. Saya melihat Kelantan, Terengganu dan Kedah (akan) kembali kepada PAS,” katanya.

Fakhruddin berkata mereka yang menjatuhkan Mukhriz daripada jawatannya sebagai menteri besar adalah kumpulan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa kelemahan pemerintahannya akan memberi peluang PAS merampas kembali negeri berkenaan.

“Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Datuk atas sebab itu tiba-tiba hendak melepaskan Kedah kepada PAS,” katanya.

Beliau berkata, parti itu tidak akan menjadikan jalan singkat, memperdayakan dan tipu muslihat untuk merampas kedudukan.

“PAS juga tidak dayus untuk membiarkan Umno terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan.

“Sebaliknya PAS mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya di mana PAS komited menentang Umno/BN dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara.

“Iaitu menandingi kerusi pilihan raya di mana saja Umno bertanding hingga dapat menurunkan Umno/BN dari tampuk pemerintahan negeri serta Putrajaya,” katanya.

About tok anjang

Check Also

Mahathir Sumbat Anwar, Kit Siang Dalam ISA, Tetapi Tuduh Najib Diktator

Hipokrasi pembangkang ditunjukkan sekali lagi diatas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *