Home / Politik / Pakatan Harapan / Lim Kit Siang enggan mengaku PH lemah, letak salah atas PAS

Lim Kit Siang enggan mengaku PH lemah, letak salah atas PAS

Kata Penasihat DAP Lim Kit Siang, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan menang dengan majoriti yang begitu besar dengan lebih 16,000 di Sungai Besar dan lebih 11,000 di Kuala Kangsar, sekiranya pertembungan satu lawan satu antara PAS dan BN.

Jangkaan itu atas dasar beliau mempercayai pengundi yang menyokong DAP akan menyokong BN dan bukannya PAS.

Betul ke?
Keputusan PRK Sungai Besar:
BN (Umno): Budiman Mohd Zohdi, 16,800
Amanah: Azhar Abdul Shukur, 7,609
PAS: Dr Abd Rani Osman, 6,902

Keputusan PRK Kuala Kangsar:
BN: Datin Mastura Yazid, 12,653
PAS: Dr Najihatussalehah Ahmad, 5,684
Amanah: Dr Ahmad Termizi Ramli, 4,883
Bebas: Izat Bukhary Ismail Bukhary, 54

Dari sudut undi popular antara pembangkang, PAS dan Pakatan Harapan (PH) menguasai sokongan hampir sama rata iaitu 50%.

Bahkan sebenarnya, jumlah undi popular yang diperolehi oleh PH kurang daripada apa yang diperolehi PAS yang bertanding sendirian, iaitu 12,492, berbanding 12,586.

Jika Kit Siang boleh membuat andaian bahawa undi DAP tidak akan pergi ke PAS, andaian yang sama juga boleh dibuat bahawa jika PAS tidak bertanding, kesemua undi PAS akan pergi ke BN dan bukannya PH.

Harus diingat apa yang diperolehi PAS di PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar adalah undi bersih kekuatan PAS selepas melalui proses pemecahan, dilanyak dan juga RUU Persendirian 355 dibacakan di Parlimen.

Menggunakan perkiraan Kit Siang yang sama, PH dijangka akan tewas sebanyak 16,000 undi majoriti juga di Sg Besar setara dengan apa yang diunjurkannya terhadap PAS.

Akan tetapi, PH akan kalah lebih teruk di Kuala Kangsar berbanding unjuran Kit Siang terhadap PAS, iaitu sebanyak 13,000 bernding 11,000 undi majoriti.

Jadi, siapa yang akan kalah lebih teruk sebenarnya jika adanya perlawanan 1 lawan 1?

Jika mengikut logik Kit Siang dan matematik sebenar, jawapannya ialah PH dan bukannya PAS seperti yang cuba dijualnya.

Meskipun data menunjukkan sedemikian, Kit Siang hanya membuat jangkaan kepada apa yang akan berlaku pada PAS di pilihan raya umum akan datang.

Beliau mendakwa PAS akan kalah dan hilang semua kerusinya di Selangor dan Perak seperti yang berlaku pada 2004 berdasarkan keputusan PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar.

Persoalannya, apa pula unjuran Kit Siang terhadap Amanah dan PKR berdasarkan keputusan sama?

Dengan undi Cina yang kini beralih kembali ke BN, apakah Amanah, PKR dan DAP tidak akan menerima nasib yang sama seperti PAS?

Sebenarnya inilah yang Kit Siang tidak mahu bincang, dan cuba dimainkan persepsi seolah-olah PAS sahaja yang rugi, tapi yang lain tidak rugi.

Namun begitu, taktik Kit Siang ini tidak menghairankan. Ini kerana beliau dan DAP sudah menemui jalan buntu dalam mencari ganti sokongan yang hilang daripada PAS, kerana PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini membuktikan walaupun DAP menggunakan gandingan antara Amanah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, undi popular PH tetap tidak dapat menyaingi PAS, dalam keadaan PAS dilanyak teruk oleh DAP dan sekutunya melalui media yang memihak kepadanya sejak Pakatan Rakyat terkubur.

Cadangan asal Kit Siang agar PAS menumpukan perhatian kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebenarnya adalah pengakuan tersirat beliau yang PAS tetap boleh bersaing dengan Umno di kerusi majoriti Melayu yang melebihi 80%, meskipun Amanah, PKR mahupun DAP masuk menjadikan pertandingan tiga penjuru.

Namun begitu, reaksi Kit Siang yang terus memperlekehkan PAS selepas cadangannya ditolak Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula jelas menonjolkan kerisauan beliau yang PH sememangnya tidak mampu bersaing dalam pertandingan tiga penjuru di kerusi campuran yang melibatkan PAS.

Di awal PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar, Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu merayu-rayu pengundi PAS mengundi calon PH. Ini membuktikan mereka sangat memerlukan undi penyokong PAS.
Tapi barangkali Kit Siang lupa akan rayuannya.

Lebih menyayatkan, dengan sikap sebegini, Kit Siang sebenarnya membantu memusatkan undi penyokong PAS di bawah PAS sepenuhnya, dan sikap bongkak parti Kit Siang pula menyebabkan penyokong Umno hatta Dr Mahathir pun memusat di bawah Umno-BN.

Secara langsung, ini menyebabkan Amanah dan PKR akan lemas di tengah dua gajah ini.

Tanpa undi penyokong PAS dan Umno, ke mana Kit Siang nak bawa PH dengan parti proksinya Amanah, apabila undi Cina juga beralih ke BN, kerana impian “Ubah” yang dijual DAP hancur berkecai seperti pilihan raya negeri Sarawak dan PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar?

About tok anjang

Check Also

Mahathir Sumbat Anwar, Kit Siang Dalam ISA, Tetapi Tuduh Najib Diktator

Hipokrasi pembangkang ditunjukkan sekali lagi diatas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *