Home / Santai / Islam menyinar di Amerika dan seantero dunia

Islam menyinar di Amerika dan seantero dunia

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2014 oleh Pew Research Center yang berpusat di Washington DC, Islam merupakan agama ketiga terbesar di Amerika Syarikat selepas Kristian dan Yahudi. 70.6% rakyat Amerika adalah penganut agama Kristian, 1.9% penganut agama Yahudi manakala 0.9% beragama Islam. Selebihnya adalah penganut agama atau kefahaman lain dan terdapat juga golongan yang tidak berpegang pada mana-mana kepercayaan atau agama, iaitu mereka yang tergolong sama ada dalam kumpulan ateis atau agnostik. Kajian itu juga menunjukkan penurunan bilangan penganut Kristian daripada 78.4% pada tahun 2007 kepada 70.6% pada tahun 2014, penurunan yang melibatkan 5 juta penduduk Amerika. Manakala penganut Islam telah bertambah sebanyak 0.5%, iaitu 0.4% pada tahun 2007 kepada 0.9% pada tahun 2014. Kelompok ateis turut bertambah daripada 1.6% pada tahun 2007 kepada 3.1% pada tahun 2014.

Walaupun peningkatan umat Islam sebanyak 0.5% kelihatan kecil, jika dikira dari jumlah 245 juta penduduk Amerika, ia merupakan peningkatan sebanyak lebih kurang 1.2 juta penduduk Islam dalam masa 7 tahun; purata peningkatan lebih 170,000 orang setahun.

Berdasarkan perkembangan ini, Pew Research Center mengunjurkan bilangan penganut Islam akan hampir menyamai bilangan penganut Kristian pada tahun 2050. Pada tahun 2010, Kristian merupakan agama terbesar dunia denganjumlah penganut seramai 2.2 billion, iaitu 31% daripada jumlah penduduk dunia. Manakala Islam agama kedua terbesar dengan 1.6 billion penganut, atau 23% dari jumlah penduduk dunia yang seramai 6.9 billion.

Pada tahun 2050, populasi dunia dianggarkan bertambah sebanyak 35% kepada 9.3 billion. Dari jumlah ini, penganut Kristian dianggarkan seramai 2.9 billion (31%) dan penganut Islam 2.8 billion (30%). Unjuran perubahan kumulatif populasi dunia disebabkan oleh pertukaran agama untuk tempoh 2010 – 2050 menunjukkan penurunan yang terbanyak adalah dalam agama-agama utama dunia dengan agama Kristian diramal mengalami pengurangan penganut seramai 66 juta orang diikuti Buddha seramai 2.9 juta orang dan Yahudi 310,000 orang. Statistik dan kajian ini mengisyaratkan Islam akan menjadi agama utama dunia dengan bilangan penganut paling ramai.

Persoalan yang menarik adalah mengapa penganut Islam semakin bertambah jika Islam agama pengganas atau ia bukan satu-satunya agama yang diterima di sisi ALLAH SWT, Pencipta dan Pemilik sekalian alam? Adakah ini bermakna semakin ramai penduduk dunia telah membuat pilihan yang salah dan menjadi sesat? Adakah majoriti penduduk dunia akan menjadi pengganas atau pendokong keganasan?

Baru-baru ini, video yang menunjukkan seorang Rabbi (pendita) Yahudi, Michael Lerner, memberikan ucapan semasa upacara penghormatan terakhir (memorial service) untuk Muhammad Ali, tersebar melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp. Ucapan Rabbi Lerner yang selama lebih kurang 8 minit itu telah mendapat tepukan gemuruh (standing ovation) para hadirin.

Beliau yang merupakan pengerusi The Network of Spiritual Progressives yang merupakan sebuah pergerakan antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat, dan mewakili Yahudi Amerika, dengan tegas mengatakan bahawa beliau tidak akan sekali-kali menyokong mana-mana ahli politik yang memandang rendah dan mengutuk agama Islam semata-mata kerana perbuatan beberapa orang.

Di samping sangat memandang tinggi keperibadian dan keberanian Muhammad Ali yang merupakan sahabat lamanya, Rabbi Lerner juga mengucapkan selamat kepada umat Islam di seluruh dunia yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Beliau mengutuk sekeras-kerasnya penaklukan dan penindasan negara haram Israel terhadap Palestin serta menggesa rakyat dan kerajaan Amerika menghalang kekejaman Netanyahu dan kuncu-kuncunya.

Rabbi Lerner menegaskan bahawa setiap individu tidak mengira warna kulit dan agama berhak mendapat keadilan dan kesaksamaan. Beliau juga menekankan peri pentingnya membetulkan segala kepincangan dalam sistem kewangan melalui kesamarataan ekonomi (equal distribution of wealth). Beliau mengakhiri ucapannya dengan mendoakan kesejahteraan Muhammad Ali, kesejahteraan Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat manusia.

Kita juga telah membaca laporan mengenai pemberhentian pengawasan selama 15 tahun oleh pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) di Amerika Syarikat terhadap rakyat Amerika yang beragama Islam. Berita bertarikh 10 Jun 2016 itu melaporkan pengawasan yang dimulakan pada musim luruh 2001 itu telah ditamatkan pada hari Jumaat baru-baru ini. Ini mungkin hadiah istimewa buat umat Islam di Amerika Syarikat bersempena Ramadan tahun ini.

Pihak FBI mengambil masa 15 tahun, dengan khidmat 15,000 informan, memasuki (infiltrate) masjid di seluruh Amerika, menyoal selidik rakyatnya yang beragama Islam, sebelum mereka faham bahawasanya Islam adalah agama yang indah dan aman. Setelah menganalisa beribu-ribu transkrip perbualan telefon yang dipintas antara penganut-penganut agama Islam, mereka kini lebih memahami budaya Islam, menurut Pengarah FBI, James Comey.

Selain itu, mereka juga telah mengumpul data dari internet, profail kaum dan mengikuti gerak-geri dan perhubungan umat Islam di Amerika sehingga ke peringkat peribadi, selama 15 tahun. Kini, mereka begitu menghormati agama Islam dan penganutnya, dan menyedari kepelbagaian budaya dan bahasa di antara 1.6 billion penganut Islam di seluruh dunia.

Satu lagi pengakuan menarik adalah dari bekas agen FBI, Casey Hanna. Menurutnya, penggunaan teknologi video yang canggih, memudahkan pihak FBI membuat pengawasan sehingga ke dalam rumah-rumah penganut Islam di Amerika. Apa yang mereka temui adalah keindahan khat dan seni Islam. Beliau begitu teruja mendengar bacaan hadis dan terpegun mengetahui bagaimana setiap hadis merupakan kata-kata Nabi Muhammad SAW yang disampaikan melalui perawi hadis. Beliau juga amat menggemari makanan halal sejak menjalankan tugas risikan di kalangan umat Islam.

Antara tahun 2002 sehingga 2008, pihak FBI dengan pertolongan National Security Agency (NSA) telah memintas dan mengawasi 7,485 alamat email di seluruh dunia. Melalui pengawasan itu, mereka mengetahui lebih jelas mengenai keindahan Islam; mengapa umat Islam tidak makan daging khinzir, perayaan umat Islam, dan mengapa wanita Islam berhijab.

Menurut James Comey lagi, mereka turut mendapatkan maklumat tambahan daripada Central Intelligence Agency (CIA) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai umat Islam di seluruh dunia. Melalui CIA, pihaknya juga mendapati bahawa wanita Islam mempunyai lebih hak terhadap harta berbanding wanita dalam masyarakat barat.

Setelah memeriksa ribuan transaksi kewangan dan akaun bank warganegara Amerika yang beragama Islam, mereka turut hairan bagaimana penganut Islam yang patuh, mampu mengadakan pelan pinjaman tanpa riba sesama mereka untuk mengelakkan riba yang diharamkan dalam Islam. James Comey begitu berterima kasih kepada umat Islam di Amerika yang banyak mengajarnya dan pasukannya mengenai Islam melalui tugasan mereka mengawasi penduduk beragama Islam selama 15 tahun.

Kajian Pew Research Center, ucapan Rabbi Lerner, dan penamatan pengawasan FBI terhadap umat Islam di Amerika, merupakan perkembangan terkini dan sebahagian daripada bukti-bukti yang menunjukkan cahaya kebenaran Islam semakin menyinar dan agama Islam semakin diterima di seluruh pelusuk dunia.

Sebagai seorang yang beragama Islam, berita-berita ini adalah sesuatu yang sangat menggembirakan dan kita merasa sangat bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana semakin ramai yang telah dikurniakan hidayah dan menerima Islam sebagai cara hidup mereka.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada yang bersikap skeptik dan terus memilih untuk menggunakan pola pemikiran yang sama tanpa mahu mengkaji secara ilmiah dan menerima fakta juga penjelasan berkenaan salah faham terhadap Islam. Ini berlaku di mana-mana termasuk negara kita Malaysia.

Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, turut mengeluarkan kenyataan mengenai rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen baru-baru ini. Beliau tidak bersetuju dengan pindaan rang undang-undang tersebut dan menganggapnya sebagai tidak berpelembagaan.

Tun Hamid memberikan contoh, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dan 2015 tidak berpelembagaan atas sebab Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menceroboh ke dalam bidang kuasa Parlimen persekutuan dengan membuat undang-undang berkenaan “undang-undang jenayah” yang berada di bawah bidang kuasa parlimen Persekutuan, dan Enakmen itu juga melanggar peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengkritik bantahan pemimpin-pemimpin bukan Islam daripada parti-parti komponen Barisan Nasional kerana menurutnya mereka membantah atas sebab yang salah, iaitu bahawa undang-undang tersebut menguntungkan orang Islam. Mereka takut bahawa orang Islam akan mendapat manfaat (untung) dan oleh itu, mereka akan rugi, dan ini menggambarkan sifat kiasu (takut kalah).

Menurut Tun Abdul Hamid lagi, undang-undang itu, jika berkuat kuasa sekalipun, hanya akan terpakai kepada orang Islam. Jadi, jika seorang bukan Islam melakukan zina dengan seorang Islam, orang Islam itu akan dihukum mengikut undang-undang itu dan orang bukan Islam bebas. Siapa yang “untung”?

Penulis sedar, ramai penganut bukan Islam di Malaysia amat takut dengan Islam kerana mereka tidak memahami Islam yang sebenar akibat kelemahan sistem sekarang dan juga pelaksanaan undang-undang yang kelihatan tidak menyebelahi bukan Islam, contohnya dalam kes perebutan anak selepas salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam dan turut mengIslamkan anak-anak bawah umur.

Salah faham mengenai Islam ini juga akibat kekurangan pengetahuan mereka mengenai Islam serta perlakuan segelintir penganut Islam yang tidak mencerminkan akhlak Islam dan kefahaman terhadap agama mereka sendiri. Mereka yang bukan Islam takut untuk menegur atau bertanya kerana akan dianggap menghina agama Islam dan akhirnya mereka mendiamkan diri dan terus dalam keadaan tidak memahami Islam yang sebenar.

Hakikatnya, kepincangan sistem dan perbezaan pandangan berlaku di mana-mana, bukan sahaja di negara-negara Islam seperti Malaysia. Jadi, adalah tidak adil untuk menyalahkan Islam kerana kesilapan para penganutnya, sebagaimana ia adalah salah untuk menyalahkan Kristian atau apa sahaja agama kerana kesalahan pengikutnya.

Amat penting untuk mempelajari dan memahami sesuatu perkara sebelum menghukum atau melabel. Berasa takut akan sesuatu atau menolak sesuatu tanpa maklumat dan pengetahuan yang lengkap dan tepat mengenainya adalah perbuatan yang sangat tidak wajar dan merugikan diri sendiri.

Semoga sinaran agama Islam yang menyinari Amerika dan seantero dunia akan turut menyinari bumi Malaysia dan lebih ramai yang akan memahami dan menerima Islam lalu kembali ke agama fitrah yang indah dan benar ini. Paling tidak, mereka tidak lagi menentang atau membenci Islam serta penganutnya. Dengan yang demikian, Malaysia akan lebih aman dan makmur.

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

About tok anjang

Check Also

9 Petanda Anda Perlu Cari Pekerjaan Baharu?

Sekiranya anda seperti majoriti orang lain, mungkin anda lebih banyak luangkan masa di pejabat berbanding …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *