Home / Politik / Pakatan Harapan / 6 pengajaran daripada kekalahan Pembangkang

6 pengajaran daripada kekalahan Pembangkang

Bagi pendokong pembangkang, keputusan kedua-dua PRK ini tentulah mengecewakan.

Berikut enam pengajaran dua PRK itu, yang mungkin boleh diambil kira sebagai kelemahan pembangkang dalam PRK kali ini:

Najib bukan bodoh
Di sebalik skandal yang terpalit pada Datuk Seri Najib Razak, Barisan Nasional (BN) kekal utuh. Ini menunjukkan Najib bukanlah bodoh, seperti yang sering diperlekehkan ramai pembencinya.

Beliau adalah pemain politik yang cekap. Berkecimpung daripada politik sejak usia muda menjadikan beliau punyai pengetahuan, pengalaman dan pasukan politik yang kuat,

Seperti dijangkakan, agak sukar dua gabungan pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PKR+DAP+Amanah) dan PAS-Ikatan meruntuhkan dominasi BN di dua kubu kuat BN ini, antaranya kerana:
1. Perpecahan undi pembangkang.
2. PRK yang diadakan terlalu hampir dengan tarikh Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sebilagan anak muda yang bekerja di luar berat pulang mengundi.
3. Demografi kawasan semi-urban di mana capaian maklumat pada peringkat nasional melalui media alternatif terbatas berbanding media perdana yang didominasi BN.

PAS rugi besar
Selain rakyat, pihak yang paling terkesan pada PRK kali ini adalah PAS dengan kehilangan sebanyak 7,452 undi di Kuala Kangsar dan 11,394 undi di Sungai Besar berbanding PRU13, semasa mereka masih bersama Pakatan Rakyat.

Daripada segi matematik, undi PAS merosot sebanyak 18,846 di kedua-dua kawasan dan secara peratusan ia merupakan kemerosotan sebanyak 60%.

Memandangkan kedua-dua kerusi ini adalah kerusi majoriti Melayu dan “separa bandar” dan kerusi tradisional PAS yang ditandingi sejak sekian lama, kehilangan undi dengan jumlah sebegitu besar sepatutnya menjadi “alarming indicator” agar PAS tidak terbuai dalam dunia sendiri dan mengkaji ijtihad politik mutakhir mereka.

Tambahan lagi, agak pelik apabila seorang popular seperti Dr Abdul Rani Osman mencatat undi yang lebih rendah dari calon muka baharu seperti Azhar Azhar Abdul Shukur dari Amanah.

Amanah yang setahun jagung mampu gugat
Amanah pula sebagai parti baru (sembilan bulan) dalam arena politik tanah air berjaya mencuri 12,429 undi iaitu 23% dari jumlah undi di kedua-dua kawasan.

Bagi sebuah parti baharu yang rata-ratanya belum dikenali pengundi luar bandar, masih dalam proses membina akar umbi serta diberikan imej negatif saban hari oleh akhbar dan televisyen, angka yang diperolehi menunjukkan Amanah bukanlah “just another newcomer” dan mampu menggugat jika kelemahan yang dikenalpasti diatasi pada hari-hari mendatang.

Kembalinya pengundi Cina kepada BN
Faktor paling mengejutkan PRK kali ini tentulah perubahan undi di kalangan pengundi Cina di kawasan luar bandar kepada BN, walaupun dengan usaha keras DAP.

Ini mungkin disebabkan faktor perpecahan Pakatan Rakyat, Amanah yang belum dikenali ramai dan isu nasional yang terputus disebabkan keterbatasan maklumat dari media alternatif.

Faktor Mahathir gagal
PRK kali ini juga memberi isyarat kuat rakyat Malaysia rata-ratanya mengundi berdasarkan kesetiaan kepada parti dan bukannya calon. Ini jelas ditunjukkan apabila kedua-dua calon BN walaupun mendapat protes dari segelintir ahli parti ditambah faktor kempen intensif Tun Dr Mahathir Mohamad masih gagal menggugat majoriti yang dimiliki BN.

Hal ini juga dapat dilihat pada PRU13 apabila Datuk Kamilia Ibrahim hanya mendapat 447 undi apabila bertanding sebagai calon bebas walau dengan pengaruhnya sebagai bekas naib ketua wanita Umno.

Pengundi tidak ‘beli’ isu nasional
Isu nasional seperti 1MDB, dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor naik jet peribadi disewa kerajaan, isu MARA, Tabung Haji dan banyak lagi sepertinya tidak memberikan kesan kepada kecenderungan pengundi.

Pembangkang terlupa mengambil berat akan isu tempatan, walaupun perlu diakui kebanyakannya di luar bidang kuasa mereka (misalnya isu Jambatan Manong di Kuala Kangsar).

About tok anjang

Check Also

Mahathir Sumbat Anwar, Kit Siang Dalam ISA, Tetapi Tuduh Najib Diktator

Hipokrasi pembangkang ditunjukkan sekali lagi diatas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *