Home / Politik / Pakatan Harapan / Mengapa PAS gagal perjelas hudud kepada bukan Islam?

Mengapa PAS gagal perjelas hudud kepada bukan Islam?

Sebaik sahaja usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah dibentangkan, ramai meramalkan ia bakal menjadi topik utama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Namun sepanjang tempoh kempen, hanya PAS yang membawa isu ini. BN kekal dengan “politik pembangunan” manakala Amanah pula dengan isu-isu nasional yang lazim diketengahkan Pakatan Harapan.

Bagi sebahagian masyarakat Cina di Kuala Kangsar, dan mungkin juga di tempat lain, istilah hudud umpama “hantu”, seperti juga istilah “DAP” kepada sebahagian orang Melayu.

Hudud dilihat sebagai usaha memaksa nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan mereka.

Retorik bahawa ia hanya untuk orang Islam kurang berjaya memadamkan kerisauan, apatah lagi dengan rekod buruk Mahkamah Syariah menangani kes melibatkan orang bukan Islam.

Michael Tan (bukan nama sebenar), 38, berkata hudud lebih baik tidak dilaksanakan di sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

“Undang-undang sedia ada sudah ok, siapa boleh jamin hudud tak akan dilaksanakan kepada orang bukan Islam?” katanya yang ditemui di sebuah program semalam.

Pang Wei Guan, 32, pula menyifatkan isu itu terlalu dipolitikkan sehingga ia menjadi begitu berkecamuk.

“DAP cakap begini, PAS cakap begitu. Dan saya tak percaya Umno. Ini belum pun dibuat,” katanya sambil dipersetujui rakannya Simon, yang berkata PAS jauh lebih meyakinkan ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu.

Mereka juga tidak yakin dengan penjelasan yang diulang-ulang iaitu usul PAS itu hanya bertujuan memberikan kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan denda dan hukuman lebih berat.

Lebih 2 dekad hudud PAS

paspenyokong

Sejak lebih dua dekad, PAS membawa agenda hududnya, tetapi masih gagal memberi kefahaman sebenar tentang hudud.

Sebahagian besar ceramah Hadi ketika berkempen di Kampung Ketior sebelum ini cuba dengan panjang lebar menjelaskan usulnya untuk meminda Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015.

Tetapi hampir semua hadirin program itu adalah orang Melayu, yang rata-rata penyokong PAS sendiri.

Benar, Hadi dan partinya perlu memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan syarat beliau mengetepikan retorik mengenai “Islam perlu memimpin yang lain” dan “hudud wajib kerana terkandung dalam Al-quran”.

Retorik sebegini tidak memadai. Ia hanya menunjukkan PAS cuba mendesak agama kepada orang bukan Islam.

Di mata orang Islam pula, PAS akan dianggap mengiktiraf Islam versinya sahaja, dan menolak kepelbagaian pemahaman.

Masyarakat Malaysia akan mendapat manfaat besar daripadanya. Setuju atau tidak dengan PAS, sekurang-kurangnya kita akan dapat berhadapan dengan isu ini – yang pasti akan timbul lagi – dengan lebih bersedia dan matang, bukannya hanya mengulang pendirian parti politik yang disokong.

About tok anjang

Check Also

Mahathir Sumbat Anwar, Kit Siang Dalam ISA, Tetapi Tuduh Najib Diktator

Hipokrasi pembangkang ditunjukkan sekali lagi diatas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *