Home / Santai / Macam-macam / Unit Khas PDRM tangani Pedofilia!

Unit Khas PDRM tangani Pedofilia!

iid_de_anzeige_puppe_151111_aotw-480x339

Kegiatan beberapa individu penghidap pedofilia yang memujuk rayu golongan kanak-kanak dan remaja perempuan melalui Facebook untuk melatih mereka melakukan aksi lucah terlampau di depan kamera dikesan sedang berlaku di negara ini.

Pelaku tersebut yang dipercayai menetap di Amerika Syarikat dan United Kingdom meniru modus operandi sindiket Love Scam semata-mata untuk mendapatkan rakaman tersebut bagi tontonan sendiri dan mungkin juga golongan seperti mereka.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pantas mengesan kegiatan tidak bermoral itu telah menubuhkan Unit Siasatan Siber Seksual Kanak-kanak (CCSI) sejak awal Mei ini bagi membanteras dan mengekang perlakuan jenayah itu daripada berleluasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, beberapa kes mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja untuk melakukan rakaman aksi berunsur seksual dikesan sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, penjenayah itu yang menetap di luar negara menyasarkan mangsa daripada golongan remaja berusia seawal 13 tahun dan 14 tahun.

“Pelaku akan mendapatkan mangsa melalui laman sosial se­perti Facebook. Selepas memperoleh kepercayaan mereka, pelaku akan mempengaruhi mangsa untuk melakukan aksi-aksi seksual di depan kamera untuk tontonan dan rakaman pelaku.

“Kita akan menyiasat secara terperinci mengenai perkara ini kerana jenayah pedofilia perlu dibanteras agar tidak berleluasa dalam kalangan masyarakat.” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2016.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Sementara itu, menurut Rohani, ibu bapa perlu melakukan pemantauan lebih rapi berhubung kegiatan anak-anak dalam penggunaan media sosial.

“Kadang-kadang ibu bapa rasa selamat apabila anak jarang keluar rumah namun kita tidak tahu mereka mungkin menyalahgunakan kemudahan internet,” katanya.

About Ahmad Karim

Check Also

9 Petanda Anda Perlu Cari Pekerjaan Baharu?

Sekiranya anda seperti majoriti orang lain, mungkin anda lebih banyak luangkan masa di pejabat berbanding …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *