Home / Ekonomi / Antarabangsa / PRN Sarawak isyarat jelas kepada pelabur luar

PRN Sarawak isyarat jelas kepada pelabur luar

adenan_satem_0309bKejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak dapat menggambarkan kestabilan politik di negara ini dan tidak berlakunya kekacauan politik yang merisaukan para pelabur.

Pengerusi Eksekutif Templeton Emerging Markets Group, Mark Mobius berkata, kejayaan parti pemerintah itu dapat memberikan isyarat kepada pelabur bahawa kedudukan kerajaan yang kukuh dan tidak berlaku krisis politik yang menggugat ekonomi Malaysia.

“Mungkin tetap ada yang tidak berpuas hati. Namun kejayaan BN itu tetap memberi gambaran kestabilan pentadbiran parti pemerintah. Kestabilan politik sememangnya penting,” katanya kepada pemberita pada sempena Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 5.0 di sini hari ini.

Pada PRN-11 Negeri Sarawak yang lalu telah memperlihatkan kejayaan BN menewaskan pembangkang seperti yang dijangkakan. Sebanyak 72 kerusi yang dimenangi daripada 82 kerusi keseluruhan dianggap sebagai mandat besar rakyat terhadap BN khususnya pasukan kepimpinan yang telah dibentuk.

Templeton Emerging Markets Group merupakan satu daripada firma utama dunia yang memfokuskan pasaran di negara-negara membangun. Firma itu itu mempunyai lebih 25 tahun pengalaman pelaburan yang kini menguruskan lebih 17 bilion pound (RM99 bilion) aset-aset di negara berkembang maju sebagai pelabur runcit dan institusi.

Dalam pada itu, Mobius berkata, isu-isu membabitkan syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) hanya memberi kesan sementara kepada pasaran tempatan.

“Ia tidak akan memberi kesan buruk secara berpanjangan. Malah, tidak mungkin hanya disebabkan 1MDB prospek ekonomi Malaysia akan menjadi buruk. Isu berkaitan krisis tadbir urus korporat bersifat global dan berlaku di mana-mana sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, Malaysia masih merupakan pasaran yang positif meskipun berlakunya ketidaktentuan harga komoditi sehingga menjejaskan nilai sebenar ringgit.

“Walaupun masih bergantung terhadap barangan komoditi, struktur ekonomi Malaysia sebenarnya lebih bertunjangkan sektor perkhidmatan dan kuasa beli domestik.

“Saya mendapati masih ramai lagi mengunjungi pusat beli-belah seperti Mid Valley, sama ada untuk berbelanja atau bekerja. Keadaan itu menggambarkan asas ekonomi negara dari segi permintaan domestik masih lagi baik,” katanya.

Katanya sebagai pelabur, pihaknya masih melihat pasaran tempatan sebagai cerah terutamanya jika mahu melabur di dalam saham atau perniagaan yang membabitkan penjualan barangan pengguna.

About Ahmad Karim

Check Also

‘Penutupan Sementara Kedai 1Malaysia Untuk Penambahbaikan’

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penutupan sementara Kedai …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *